Khamis, 29 Disember 2016 | 1:16pm

Hospital Pakar PRK MUIP sedia ujian mamogram digital

KUANTAN: Hospital Pakar PRK MUIP di sini menambah perkhidmatannya dengan menyediakan mesin ujian mamogram digital bagi memudahkan golongan wanita melakukan pemeriksaan kesihatan payudara.

Pengarahnya, Datuk Dr Abd Hadi Jaafar, berkata penyediaan mesin pengimejan perubatan itu sebagai langkah meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital berkenaan, sekali gus memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan menjalani pemeriksaan mamogram.

"Kita adalah hospital swasta pertama di negeri ini menjalankan pemeriksaan ujian kesihatan payudara menggunakan mesin mamogram digital iaitu GE Seno Crystal dengan pengurangan kadar radiasi kepada pesakit.

"Selain itu, pemeriksaan melalui mamogram digital ini dapat membantu pengesanan awal kanser melalui imej lebih jelas berbanding mesin mamogram analog yang digunakan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran mamogram digital disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan di sini, hari ini.


ABDUL Wahid (kiri) mendengar penjelasan mengenai mesin mamogram digital iaitu GE Seno Crystal daripada Juru Xray Hospital Pakar PRK MUIP, Nur Husna Hazwani Mohd Nadzir. - Foto Farizul Hafiz Awang

Abd Hadi berkata, pihaknya turut bercadang berkolaborasi dengan hospital kerajaan untuk menjalankan pemeriksaan momogram secara 'mass screening' bagi membantu pesakit.

Katanya, pihak hospital kerajaan akan memindahkan pesakit ke hospital itu bagi menjalani pemeriksaan kesihatan payudara.

"Kaedah ini secara tidak langsung memudahkan pesakit kerana mereka tidak perlu menunggu lama untuk menjalani pemeriksaan berkenaan," katanya.

Beliau turut menyarankan golongan wanita di negeri ini melakukan pemeriksaan kesihatan payudara bagi mengesan kanser berkaitan.

"Kebanyakan mereka tidak menitikberatkan pemeriksaan di peringkat awal kerana kurang kesedaran mengenai kanser itu," katanya.

Berita Harian X