Selasa, 27 Disember 2016 | 11:04pm

SPAD ambil keterangan pemandu bas guna telefon, merokok

GAMBAR daripada video viral yang menunjukkan seorang pemandu bas ekspres menggunakan telefon bimbit dan merokok.
GAMBAR daripada video viral yang menunjukkan seorang pemandu bas ekspres menggunakan telefon bimbit dan merokok.

KUALA LUMPUR: Pemandu bas ekspres dalam video viral yang menunjukkan perbuatannya memandu sambil menggunakan telefon bimbit dan menghisap rokok, sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menurut kenyataan SPAD, pegawai penguat kuasanya turut mengambil keterangan pengarah syarikat pengendali bas berkenaan hari ini.

"SPAD juga bertemu pengadu petang tadi bagi merakamkan keterangan rasmi. Rakaman video dan gambar yang diterima akan digunakan sebagai bahan bukti dalam siasatan," katanya.

Kenyataan itu juga menambah pemandu itu boleh dihukum denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika didapati membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya mengikut Seksyen 202 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD).

"Bagi kesalahan merokok dalam kenderaan awam darat pula, pemandu boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 203 APAD dan hukuman yang boleh dikenakan ialah denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali," tambah kenyataan itu.

SPAD juga berkata, pengendali bas pula boleh dihukum mengikut Seksyen 22 dan 23 APAD atas kesalahan mengingkari syarat lesen mengenai keselamatan yang membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM500,000, atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya.

Klip rakaman video itu dirakamkan seorang penumpang bas berkenaan menunjukkan pemandu terbabit menggunakan telefon bimbit dan merokok ketika bertugas. Ia kemudian dimuat naik ke laman sosial.

Bas itu dikatakan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur menuju ke Muar. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X