Ahad, 25 Disember 2016 | 12:28pm

Netanyahu bidas Obama susulan resolusi PBB

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyelar Presiden Barack Obama, dan menuduh beliau melakukan “serang hendap memalukan” di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung pembinaan penempatan di Tebing Barat dan menegaskan tidak sabar menjalin kerjasama dengan “rakannya”, presiden dilantik, Donald Trump.

Kenyataan Netanyahu dibuat sehari selepas Amerika Syarikat tidak meneruskan amalan sebelum ini dan membenarkan Majlis Keselamatan mengutuk pembinaan penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai “pelanggaran terang-terangan” undang-undang antarabangsa.

Walaupun Amerika menentang pembinaan penempatan, ia selalunya menggunakan kuasa veto sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan untuk menghalang resolusi mengutuk Israel, dan menyatakan perbalahan antara Israel dan Palestin perlu diselesaikan menerusi rundingan.

Resolusi itu turut dikecam Trump yang menulis di Twitter bahawa ia akan menyukarkan usaha damai tetapi menegaskan akan meneruskan rundingan.

Netanyahu berkata, tindakan berkecuali Amerika adalah “bertentangan sama sekali” dengan komitmen negara itu termasuk apa yang dikatakan sebagai janji Obama pada 2011 untuk tidak mengenakan syarat kepada perjanjian muktamad mengenai Israel di Majlis Keselamatan.

“Pentadbiran Obama melakukan serangan hendap memalukan anti-Israel di PBB,” kata Netanyahu.

Beliau juga menyifatkan sebagai mengelirukan tetapi menegaskan rejim Zionis itu akan mengatasinya.

Rumah Putih enggan memberi ulasan terhadap kritikan Netanyahu.

Netanyahu berkata, beliau sudah bercakap dengan pemimpin kedua-dua parti, Republikan dan Demokrat, yang berjanji menentang keputusan itu, termasuk yang dikatakan “rakan Israel” dalam pentadbiran akan datang.

Israel juga akan menilai semula hubungan dengan PBB berikutan kelulusan resolusi itu.

“Saya sudah mengarahkan Kementerian Kewangan menyiapkan penilaian semula semua hubungan dengan PBB dalam masa sebulan, termasuk bantuan kewangan dengan institusi PBB dan kehadiran wakil PBB di Israel.

“Saya sudah mengarahkan pemberhentian dana sebanyak AS$7.8 juta (RM35 juta) kepada lima institusi PBB, lima badan yang memusuhi Israel dan banyak lagi akan dikenakan tindakan sama,” katanya. - AFP/Reuters

Berita Harian X