Ahad, 25 Disember 2016 | 12:02am

E-buku ambil masa kuasai pembaca

PERSOALAN mengenai pasaran buku bercetak yang dikatakan akan merudum kerana diambil alih buku elektronik atau e-buku, terlalu banyak diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, perkembangan terbaru menyaksikan aliran pembelian e-buku menurun. Wartawan Sastera & Budaya Siti Haliza Yusop menemui Pengarah Urusan E Sentral, Faiz Al Shahab bagi penjelasan lanjut.

FAIZ menunjukkan antara jualan buku secara online. - Foto Izhari Ariffin
FAIZ menunjukkan antara jualan buku secara online. - Foto Izhari Ariffin

Soalan (S): Sebelum ini ada yang mengatakan pasaran buku elektronik (e-buku) akan menggantikan buku konvensional, bagaimanapun, aliran pembelian e-buku dilihat sedikit menurun berdasarkan data oleh Association of American Publishers. Adakah ini bermakna masih jauh lagi perjalanan sebelum e-buku boleh menggantikan buku bercetak?

Jawapan (J): Kenyataan itu adalah benar untuk industri e-buku Barat, tetapi gerakan e-buku menggantikan buku bercetak tidak mungkin akan berlaku dalam beberapa tahun sahaja kerana percetakan dan perbukuan telah wujud ribuan tahun.

Ia tidak boleh disamakan dengan pertukaran format seperti kaset ke cakera padat video (VCD) ke MP3. Format ini hanya berkhidmat untuk tempoh tertentu sahaja dalam sesebuah tamadun.

Memang benar industri e-buku mengalami ketepuan di dunia Barat tiga tahun kebelakangan ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuk pertamanya, kejatuhan jualan peranti e-Pembaca khusus untuk bacaan e-buku seperti Kindle dan Kobo yang berpunca daripada kenaikan jualan peranti pintar seperti telefon pintar dan peranti tablet.

Ini diikuti dengan ketersediaan buku cetak dalam pasaran yang sangat rendah harganya yang menyebabkan konsumer lebih tertarik mengejar promosi dan harga yang lebih rendah, manakala yang terakhir ialah kegawatan yang dialami industri perbukuan baik yang bercetak atau pun elektronik dan tidak hairanlah jika industri e-buku juga akan terbantut perkembangannya disebabkan oleh kegawatan ini.

Memandangkan 10 tahun kebelakangan ini e-buku sudah menggantikan lebih 30 peratus daripada buku cetak di pasaran dunia Barat, maka jika kita lihat pada unjuran ini, paling lama mungkin ia akan mengambil masa 20 tahun lagi sebelum percetakan pupus.

Bagaimanapun, disebabkan kos percetakan dan pengedarannya tidak lagi menjadikan aktiviti percetakan sebagai sesuatu yang lumayan maka bahan bercetak akan menjadi lebih terhad dalam masa yang lebih dekat.

Justeru tidak dapat dipastikan sama ada pengantara yang baharu adalah e-buku ataupun media elektronik yang lain. Faktor kos dan penjimatan juga akan menjadi pemacu utama kebanyakan kerajaan di dunia untuk beralih ke media elektronik.

S: Bagaimana pula dengan senario pasaran e-buku di negara ini?

J: Pasaran e-buku di negara ini masih kecil apabila dibandingkan dengan dunia Barat meskipun sudah berusia beberapa tahun. Bagaimanapun kenaikan jualan e-buku kepada pasaran terbuka Malaysia sebenarnya melalui pertumbuhan dua digit dari tahun ke tahun.

Pada peringkat jualan korporat pula, permintaan sistem dan khidmat e-buku semakin meningkat khususnya di sektor kerajaan kerana ia dilihat sebagai alternatif bagi mewujudkan penjimatan kos untuk penerbitan dan percetakan.

S: Setakat mana budaya pembacaan e-buku berkembang di negara ini berbanding beberapa tahun lalu?

J: Kini lebih ramai mempunyai pengetahuan dalam penggunaan peranti mereka dengan lebih baik sekali gus membolehkan lebih ramai menggunakan aplikasi membaca e-buku. Mereka juga lebih memahami kaedah menggunakan e-buku dan mempunyai kesedaran ia adalah lebih murah, praktikal dan boleh diperoleh pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Disebabkan kegawatan ekonomi Malaysia, pasaran e-buku meningkat mendadak dalam tempoh 18 bulan kebelakangan ini mungkin kerana pengguna kini mahu berbelanja dengan lebih berhemah dan mengelakkan kos sampingan seperti kos pengangkutan dan parkir yang mungkin diperlukan untuk membeli sesuatu seperti buku.

S: Ada kalangan pemain industri dilihat lebih menyenangi segmen buku bercetak berbanding e-buku. Sebagai perintis segmen buku sedemikian, mengapa mereka perlu segera membuat peralihan dan menyertai penerbitan e-buku?

J: Penerbit lebih senang mencetak buku kerana ia adalah perniagaan yang dikenali mereka berkurun lama, tetapi dalam masa sama, kalangan penerbit tidak boleh menafikan bahawa dunia penerbitan bercetak baik buku atau pun majalah kini melalui kegawatan yang antaranya disebabkan oleh peralihan ke media digital.

Peralihan kepada media digital seperti e-buku mungkin tidak boleh menggantikan kehilangan pasaran buku dan majalah cetak secara keseluruhan, namun ia dapat membantu untuk memenangi semula peratusan daripada pasaran buku dan majalah cetak yang hilang. Ia sekali gus boleh menjadi saluran pendapatan baru untuk penerbit dan perlu segera disertai oleh mereka.

S: Bagaimana melihat masa depan e-buku di negara ini dan berapa lama masa diperlukan sebelum ia boleh benar-benar diterima?

J: Masa depan industri e-buku di Malaysia adalah sangat cerah meskipun pasaran terbukanya belum mengatasi pasaran buku cetak, tetapi dalam perkhidmatan perpustakaan dan juga pendidikan, jelas ia sudah bersaing dengan buku cetak.

Bagi generasi akan datang, pendidikan mereka akan berasaskan digital (digital native), justeru sudah tentu mereka akan lebih mengenali e-buku jika dibandingkan dengan buku cetak. Peneraju utama gerakan e-buku juga akan dimulakan generasi yang masih bersekolah. Mereka akan lebih mudah menerima media elektronik seperti e-buku di peringkat universiti dan seterusnya berbanding generasi mahasiswa dan pekerja sekarang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X