Sabtu, 24 Disember 2016 | 4:32pm

Resolusi 2334 kemenangan rakyat Palestin - Najib


ENTRI terbaru di laman Twitter NajibRazak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan resolusi menentang penempatan haram Israel di bumi Palestin yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebagai kemenangan buat rakyat Palestin yang ditindas.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu juga adalah tamparan hebat buat Israel, sekali gus menjadi batu loncatan dalam usaha melihat bumi Palestin aman dan merdeka.

"Alhamdulillah, berkat kekuasaan dan rahmat Allah SWT, meskipun pada mulanya berdepan cabaran apabila Mesir menarik balik cadangan draf resolusi mereka, nasib rakyat Palestin tetap akan dibela.

"Malaysia, bersama tiga lagi negara, New Zealand, Senegal dan Venezuela setuju campur tangan dan membentangkan draf resolusi sama menuntut Israel menghentikan penempatan haram mereka," katanya dalam entri terbaru di laman sosial rasminya, hari ini.

UNSC semalam meluluskan resolusi berkaitan Konflik Israel-Palestin (Resolusi 2334) yang menggesa supaya Israel menghentikan segera aktiviti penempatan haram rejim itu di wilayah Palestin yang diusulkan Malaysia, New Zealand, Venezuela dan Senegal.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu bukan saja perlu dilihat dari sudut agama, sebaliknya ia juga menandakan sokongan padu komuniti antarabangsa menentang pelanggaran undang-undang antarabangsa dilakukan rejim Zionis menerusi penempatan haram.

Berita Harian X