Khamis, 11 Disember 2014 | 4:05pm
KETUA Menteri, Lim Guan Eng, bercakap kepada wartawan mengenai penafiannya mengatakan Jalan Persiaran Gurney (Gurney Drive) akan ditukar kepada Jalan Chin Peng (Chin Peng Drive) pada sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Mohd Kamil Rahim

4 individu beri keterangan bantu siasatan kes Persiaran Chin Peng

GEORGETOWN: Polis memanggil empat individu untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran khabar angin mengenai pertukaran nama Persiaran Gurney kepada Persiaran Chin Peng. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata antara yang dipanggil ialah Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim. "Berdasarkan siasatan, polis percaya akan merekodkan keterangan daripada beberapa pihak lagi dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kes disiasat kes disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran terhadap awam," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Khamis lalu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai membuat laporan polis berhubung khabar angin yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pertukaran nama Persiaran Gurney kepada Persiaran Chin Peng.

Rafizal pada 2 Disember lalu dilaporkan berkata pihaknya mendapat maklumat itu menerusi sumber dalaman pejabat Ketua Menteri, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan sumber berkenaan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam sidang akhbarnya pada 3 Disember lalu menegaskan Persiaran Gurney di sini akan kekal dengan nama berkenaan. Sementara itu, dalam perkembangan lain Abdul Rahim berkata polis turut membuka kertas siasatan menurut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 bagi kes majlis makan malam perajurit Parti Komunis Malaya (PKM) di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, Perai dekat sini.

Katanya, ia berikutan majlis yang diadakan pada 29 November lalu itu dijalankan oleh sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan (ROS).

"Selain disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, polis juga buka kertas siasatan menurut Akta Pertubuhan kerana pertubuhan itu tidak berdaftar," katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 25 individu direkodkan keterangan dengan 24 laporan polis oleh pelbagai pihak berhubung kes berkenaan. Kira-kira 800 orang dipercayai keluarga dan bekas anggota PKM dari Malaysia dan Thailand menghadiri majlis makan malam itu yang dianjurkan Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia.

- BERNAMA

Berita Harian X