Khamis, 22 Disember 2016 | 10:06pm

China tingkatkan ketegangan di Laut China Selatan

BEIJING: China memulakan penerbangan sewa khas awam ke Pulau Woody di Laut China Selatan, kawasan yang menjadi perebutan beberapa negara sekitar.

Agensi berita Xinhua melaporkan, tindakan China itu mungkin akan meningkatkan ketegangan serantau.

China mendakwa memiliki kedaulatan ke atas hampir semua kawasan Laut China Selatan dan menukar kawasan terumbu karang kepada pulau buatan, yang mampu menempatkan pesawat tentera.

Negara itu mendaratkan pesawat penumpang pertamanya di bandar Sansha di Pulau Woody dalam rangkaian kepulauan Paracels, yang juga dituntut Vietnam dan Taiwan.

China mewujudkan Sansha dengan keluasan dua juta kilometer persegi lautan pada 2012 dan mengisytiharkannya sebagai bandar terbesar.

Mei lalu, akhbar kendalian kerajaan, China Daily, melaporkan gergasi Asia itu mahu menjadikan kawasan di sekitar Pulau Woody sebagai tarikan utama pelancong yang setanding Maldives.

China menggalakkan rakyatnya melawat Paracels atau dikenali sebagai Xisha dalam bahasa Cina.

Pelancong China dibenarkan berkunjung ke kawasan bukan tentera di Laut China Selatan sejak 2013, namun pemegang pasport asing tidak dibenarkan berbuat demikian.

Jun lalu, negara itu mengumumkan satu cadangan baharu yang mahu membangunkan laluan pelancong ke Spratly, terletak di selatan menjelang 2020.

Tindakan itu mendalamkan lagi sentimen anti-China di Vietnam, sementara pengkritik domestik menuduh Hanoi terlalu berlembut terhadap jiran gergasi di bahagian utara itu. - AFP

Berita Harian X