Khamis, 22 Disember 2016 | 3:26pm

Princess Syahrini doa temu jodoh

PENYANYI Indonesia, Syahrini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI Indonesia, Syahrini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pernah digosip menjalin hubungan dengan beberapa jejaka termasuk bekas suami penyanyi Krisdayanti, kisah cinta bintang Indonesia, Syahrini terus menjadi misteri.

Tidak pernah lari daripada kontroversi, Syahrini sebelum ini dituduh hidup kaya-raya kerana ditaja.

Namun, bagi Syahrini, semua kisah hangat sudah berlalu.

Bertemu penyanyi kelahiran Bogor ini pada pelancaran fesyen muslimah, VHijrah yang diusahakan bekas isteri kepada pelakon terkenal, Datuk Eizlan Yusof iaitu Vie Shantie Khan, Syahrini atau lebih dikenali sebagai Princess Syahrini tidak mengelak ketika ditanya soal jodoh.

"Saya berharap dan berdoa semoga cepat dipertemukan jodoh. Harap kalian (merujuk kepada media) doakan yang sama untuk saya," katanya.

Syahrini atau nama sebenarnya, Rini Fatimah Jaelani yang enggan berkongsi cerita peribadinya, teruja diundang ke Malaysia bagi memeriahkan acara pelancaran jenama fesyen muslimah itu.

"Saya senang sekali dapat memeriahkan acara ini. Apatah lagi ia berkait dengan fesyen. Di Indonesia, saya sering dianggap sebagai 'fashion darling'.

"Saya selesa menganggap diri sebagai fashionista. Bagi saya fesyen itu saling melengkapi dengan kerjaya yang diceburi. Ia menyempurnakan diri saya ketika menghiburkan orang ramai dan peminat di pentas," katanya.

Syahrini berkata, Vie Shanti yang mengikutinya di laman Instagram, mengundang dirinya ke majlis itu.

"Vie mahukan saya menyanyi pada acara ini. Kebetulan saya lapang, jadi saya penuhi impiannya.

"Alhamdulillah, saya harap perniagaannya ini akan sukses. Saya selesa mengenakan baju rekaan Rizman Ruzaini. Cuma saya diminta mengenakan selendang bagi menghormati acara ini.

"Sekalipun saya tidak bertudung, rekaan yang ditonjolkan VHijrah begitu senang sekali," katanya yang tampil berbeza pada acara itu.

Berita Harian X