Khamis, 22 Disember 2016 | 12:15am

'Hubungan dengan Fattah terlalu rumit' - Neelofa

BARU-BARU ini, ada cerita kononnya wujud 'cinta lokasi' di antara Neelofa dengan Fattah Amin selepas membintangi drama Suri Hati Mr Pilot (SHMP) menjadi lebih menarik. Kedua-duanya meluahkan isi hati di Instagram mengenai bayangan dan kesudahan 'hubungan' mereka.

Terdahulu, Neelofa mengakui emosinya terganggu dengan laporan media dan cakap-cakap orang apabila hubungannya dengan Fattah mencetus pelbagai spekulasi. Sekalipun tidak mengesahkan atau mengiyakan keinginan peminat mereka dan mata yang memandang, ramai beranggapan bagai ada 'rasa' yang terjalin antara dua insan ini. Tidak kurang yang pantas berfikiran negatif melihat semua itu bersifat sandiwara dan gimik semata-mata.

NEELOFA Mohd Noor. Foto Munira Abdul Ghani
NEELOFA Mohd Noor. Foto Munira Abdul Ghani

Menerusi luahan isi hati kedua-dua pelakon itu juga, ada yang beranggapan hubungan akrab mereka itu bagai retak menanti belah. Menambah rencah, adanya dakwaan kewujudan orang ketiga di antara mereka. Daripada bayangan diberikan pula, tumpuan terarah kepada pelakon berdarah campuran, Tania Hudson, yang beberapa bulan lalu pernah berlakon dengan Fattah dalam filem KL Special Force. Tania bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit.

Lalu, kesempatan bertemu Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29, 20 Disember lalu, pada majlis pelantikannya sebagai duta Kad Muslimah Bank Rakyat menjadi ruang terbaik untuk bertanyakan isi hati sebenar wanita jelita berkenaan apabila kisah 'cinta' terbaharunya menjadi perhatian.

"Tidak saya nafikan begitu selesa dengan dirinya (Fattah). Namun, apabila kisah kami menjadi perhatian ramai, saya kena banyak pertimbangkan daripada pelbagai sudut. Saya tidak boleh terburu-buru dalam memberikan sesuatu justifikasi atau pandangan. Hubungan saya dengannya tak semudah seperti pasangan lain di kalangan orang biasa yang tak mendapat perhatian.

ABDUL Fattah Mohd Amin atau dikenali Fattah Amin. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ABDUL Fattah Mohd Amin atau dikenali Fattah Amin. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Kes hubungan kami bukan mudah, sebaliknya agak rumit. Saya kena jaga hati ramai orang, termasuk peminat kami. Saya kena fikir semula apa saja yang berkait. Ia tidak boleh semudah apabila kita sukakan seseorang, terus ajak berkahwin. Segala keputusan kepada hubungan kami membabitkan banyak benda termasuk soal peminat, kerjaya, masa depan dan media.

"Kalau sebaliknya, tindakan saya lebih senang dan keputusan itu boleh dibuat tanpa memikirkan terlalu mendalam," katanya.

Kata Neelofa, selepas enam tahun menjadi anak seni, perhatian peminat dan orang ramai terhadap dirinya kini memang berbeza. Fenomena dan impak drama SHMP cukup besar kepada pengacara Meletop itu.

"Memang untuk menjawab mengenai status hubungan kami dengan lebih tepat agak sukar, apatah lagi dari hari ke hari, saya banyak belajar mengenai peminat saya dan kami berdua. Ia pengalaman pertama saya berhadapan dengan perhatian sebegini rupa. Rentetan daripada fenomena drama SHMP hingga saat ini, hampir setiap hari saya berdepan dengan pelbagai macam pengalaman baharu.

FATTAH dan Neelofa "meletup' berikutan drama bersiri Suri Hati Mr Pilot.
FATTAH dan Neelofa "meletup' berikutan drama bersiri Suri Hati Mr Pilot.

"Saya lebih banyak berfikir. Sebagai contoh, apa yang saya perlu buat untuk menggembirakan hati peminat, apa yang perlu dilakukan demi menjaga perasaan dan hati orang lain? Setiap kata perlu disusun, bimbang nanti tersalah cakap.

"Saya sedar mengenai keinginan dan kemahuan peminat yang mahu Ejaz serta Warda (watak mereka dalam SHMP) untuk bersatu di alam realiti sangat tinggi," katanya.

Bagaimanapun sebagai manusia biasa, Neelofa juga maklum soal dan permintaan peminat terhadap jodoh bukan sesuatu yang boleh dijawab semudah melafazkan A hingga Z.

"Permintaan peminat yang mahu kami bersatu ini tiada kata putus. Ia soal jodoh, hati dan perasaan. Saya sendiri tidak ada jawapannya. Bagaimana saya nak sahkan Fattah jodoh diri ini sehinggalah akad yang mengesahkannya. Ia permintaan yang cukup besar dan saya sendiri tak tahu di mana penghujungnya?

"Pada masa sama, banyak mata yang memandang. Kalau tersalah cakap dan beriya dalam apa-apa hal, saya bimbang ia tak berkesudahan seperti diharapkan. Kesudahannya, golongan perempuan seperti saya yang akan tanggung malu dan perlu menghadapinya. Golongan wanita seperti saya juga yang akan dihukum. Jadi, saya memang terlalu berhati-hati untuk bercakap soal kahwin dan jodoh," katanya.

Tegas Neelofa, apa yang terjadi membabitkan dirinya dan Fattah tidak pernah dirancang sedemikian rupa. Keakraban mereka memang terserlah saat berkongsi apa saja perkara secara bersama-sama di laman sosial.

"Apa yang terjadi ini berlaku tanpa disedari. Dari set penggambaran drama, ramai tahu termasuk kru dan pelakon mengenai hubungan rapat kami. Apabila kami berkongsi di laman sosial, ia terbawa-bawa hingga ke alam realiti. Malah, peminat turut mengungkap dan berkongsi semula apa yang kami muat naik di laman sosial.

"Bukan hanya dengan dirinya, bersama kru dan pelakon lain pun saya rapat. Begitupun, babak kami berdua memang banyak, jadi tak saya nafikan rapat dengannya. Tambah pula hari-hari berjumpa selama dua bulan. Selepas itu, kami ada aktiviti ramah-mesra bersama peminat dan kolaborasi berdua pada acara tertentu. Lalu, ada masa keselesaan yang kami paparkan itu tanpa disedari sebenarnya diperhatikan ramai dan peminat di laman sosial.

"Saya pula tak rasa apa yang kami kongsi dan paparkan itu memberi harapan tinggi menggunung kepada peminat. Saya lihat juga gandingan pelakon lain (berbuat begitu). Jadi, kami menganggap gandingan terbabit seperti pelakon lain juga dan ia normal. Tetapi, sebenarnya lain pula yang berlaku kepada gandingan kami berdua," katanya

Di sebalik apa yang sedang dilaluinya kini, Neelofa mengaku tidak terlalu dibebani dengan tekanan sekeliling.

"Hakikatnya saya gembira dengan fasa dilalui sekarang, termasuk dalam soal kerjaya. Ibu saya ada bertanya, kenapa dan apa sebenarnya yang berlaku? Saya cakap kepadanya, biarlah saya nikmati keindahan fasa ini dulu. Saya gembira dengan sokongan peminat, perhatian dan pengiktirafan yang dikecapi.

"Jadi biarlah saya bergembira. Saya lebih rasa dihargai dan mula memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk menghargai peminat, termasuk melakukan aktiviti yang boleh mendekatkan diri bersama mereka. Soal nak lihat kami kahwin, itu satu permintaan dan cerita berbeza. Apa jadi kalau ia tak dapat dipenuhi dan tak jadi seperti yang diharap? Soal itu yang buat saya bimbang dan tak mahu kecewakan mereka," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan kewujudan orang ketiga dalam hubungan terbabit, Neelofa sendiri mengaku baru saja mengetahuinya.

"Mungkin cara saya dapat tahu mengenai dakwaan itu juga tidak elok. Jadi, tidak adil juga untuk saya memberikan komen mengenai hal ini kerana Fattah dan individu berkenaan tiada di sini.

"Jujurnya, saya fobia untuk memberi ulasan lanjut kerana bimbang kenyataan ini akan mengeruhkan lagi keadaan dan melukakan hati banyak pihak, termasuk peminat. Saya dan Fattah juga mempunyai peminat masing-masing. Mereka yang tahu cerita ini, tahulah," katanya yang akan berangkat ke Tanah Suci Makkah buat kali keempat pada 27 Disember ini.

Sementara itu, diminta ulasannya mengenai hubungan baik beliau bersama bekas isteri Datuk Eizlan Yusoff, Vie Shanti, yang juga pengusaha fesyen muslimah VHijrah, dikatakan dingin, wanita ini menafikan perkara itu.

Hubungan yang sebelum ini dilihat mesra itu dikatakan 'berubah' apabila kononnya idea Vie untuk mengeluarkan koleksi khas 'mesra solat' terlebih dulu dihasilkan Neelofa menerusi rangkaian tudung Maryam by Naelofar, beberapa bulan lalu. Malah koleksi Neelofa itu juga dikatakan dijual lebih murah berbanding produk Vie yang baru saja dilancarkan baru-baru ini.

Umum tahu, kedua-duanya dilihat akrab dan berpeluang mengerjakan haji bersama-sama, September lalu. Lalu, ketiadaan Neelofa pada pertunjukan dan pelancaran fesyen cetusan Vie itu di sebuah hotel terkemuka sudah tentu menimbulkan tanda-tanya.

"Hubungan kami masih seperti biasa. Baru-baru ini, kami ada berjumpa dalam sebuah jamuan makan dianjurkan jemaah haji yang turut serta bersama kami dulu. Kami memang tiada apa-apa masalah. Malah, saat bermesej, saya sendiri gemar menyebut perkataan 'I Miss You' dan sering mengajaknya keluar berjumpa.

"Cuma, isu ini jadi hangat apabila orang luar yang tidak tahu-menahu menokok tambah cerita. Ketiadaan saya ketika majlisnya baru-baru ini pun kerana saya sedikit serabut dengan masalah (merujuk kepada kisahnya dengan Fattah). Ketika itu, saya memilih untuk berdiam diri dan tak mahu keluar ke acara yang mempunyai ramai orang.

"Saya ada menghubunginya bagi memaklumkan perkara itu. Saya memang tak berada dalam 'mood' yang baik ketika itu dan mengharapkan pengertiannya sebagai kawan," katanya.

Menurut Neelofa, tidak wujud istilah tiru-meniru atau 'caras-mencaras' dalam situasi yang diperkatakan.

"Memang orang luar yang cuba membuat tafsiran negatif. Di Makkah lagi, kami sudah tahu mengenai perancangan mengeluarkan koleksi 'mesra solat'. Ikutkan sebelum mengerjakan haji lagi, kami berdua sudah merancang untuk melakukan hal sama, tetapi secara berasingan. Namun dek kesibukan masing-masing, hal itu tertunda.

"Masing-masing juga sudah ada contoh rekaan," katanya.

NEELOFA juga seorang usahawan.
NEELOFA juga seorang usahawan.
Berita Harian X