Sabtu, 17 Disember 2016 | 3:21pm

Tuan Anas Mikail dominasi Anugerah Telenovela 2015

KUALA LUMPUR: Drama rantaian, Tuan Anas Mikail mendominasi Anugerah Telenovela 2015 yang diadakan sempena Ekspo Buku Malaysia 2016 apabila mengungguli empat daripada 17 kategori pada acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Drama terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu unggul menerusi kejayaan Aaron Aziz yang dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik; manakala gandingannya, Zara Zya diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Zara Zya).

Produksi itu mengukuhkan lagi keampuhannya menerusi kejayaan Raja Ahmad Alauddin Raja Ahmad Redzuan sebagai Pengarah Telenovela Terbaik, selain turut diumumkan Penerbit Telenovela Terbaik.

Anugerah anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) yang julung kali diadakan bertujuan mengangkat novel tempatan yang diadaptasi dalam bentuk drama televisyen.

Sementara itu, drama Hati Perempuan terbitan Creative Skill Solution membawa pulang dua kemenangan menerusi kejayaan Saharul Ridzwan sebagai Pelakon Lelaki Popular, manakala Mia Ahmad memenangi Pelakon Wanita Popular. Drama itu turut memenangi kategori Novel Popular.

Bagi kategori Pelakon Baharu Paling Popular (Lelaki) pula, Fattah Amin mengunggulinya menerusi drama Hello Mr Perfect manakala Pelakon Baharu Paling Popular (Wanita) pula dianugerahkan kepada Amyra Rosli (Cik Bunga Encik Sombong).

Turut menyerlah, drama Teman Lelaki Upahan terbitan Primeworks Studios yang diumumkan sebagai Telenovela Terbaik manakala drama Dalam Iradatmu terbitan Global Station Sdn Bhd diangkat Telenovela Popular. Pemenang diadili 100 peratus juri profesional.

Semua pemenang menerima trofi dan sijil yang disampaikan Pengerusi YPBN, Hasan Hamzah dan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia, Khir Mohd Nor.

Berita Harian X