Sabtu, 17 Disember 2016 | 10:37am

Guardiola nafi Bravo ke Barcelona semula

Claudio Bravo

MANCHESTER: Pep Guardiola menegaskan penjaga gol Chile, Claudio Bravo gembira di Manchester City, sekali gus menafikan laporan mengatakan pemain itu akan kembali berpindah ke Sepanyol.

Penjaga gol berusia 33 tahun itu yang mengetuai Chile menjuarai Copa America dua kali berturut-turut, meninggalkan Barcelona bagi menyertai City pada Ogos lalu dengan Guardiola mahu menjadikannya penjaga gol pertama bagi menggantikan Joe Hart.

Bravo bagaimanapun menghadapi detik sukar pada permulaan hidupnya di Manchester - dia dibuang padang ketika berdepan Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara di Nou Camp, Oktober lalu dan hanya dua kali berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi dalam 14 perlawanan.

Menurut laporan media, penjaga gol itu memberitahu rakan sepasukannya yang dia mahu kembali menyertai Barcelona biarpun sebagai penjaga gol kedua di belakang Marc-Andre ter Stegen.

Bagaimanapun, Guardiola menegaskan Bravo gembira di England.

"Saya tidak membacanya. Ada masa, apabila kamu (wartawan) datang ke sini, Simon (Heggie, Ketua Media City) akan memberikan taklimat mengenai apa yang kamu akan tanya kepada saya.

"Namun, dia tidak bercakap mengenai perkara itu. Saya tidak banyak membaca akhbar, Twitter, Instagram dan Facebook. Saya bercakap dengan Bravo beberapa hari lalu bersama isterinya sekali. Dia beritahu kepada saya, dia gembira di sini," kata Guardiola. - AFP

Berita Harian X