Sabtu, 17 Disember 2016 | 12:18am

Saraf punca sindrom anggota badan hantu

PERNAHKAH anda merasa sakit seperti seakan dihiris, terbakar, terkena renjatan elektrik atau bekas luka pembedahan yang sudah sembuh tetapi tidak tahu apa puncanya?

Lebih aneh, sudah beberapa doktor ditemui tetapi punca kesakitan yang dialami masih tidak diketahui sehingga berkemungkinan pesakit dianggap mengalami ilusi sendiri.

Kesakitan berterusan ini sebenarnya berpunca daripada sistem saraf yang membawa isyarat salah daripada bahagian luka kepada saraf tunjang dan otak.

Keadaan ini adalah sejenis sakit kronik atau neuropatik yang salah satunya dikenali sebagai 'sindrom anggota badan hantu' kerana pesakit merasai sakit pada bahagian tubuh yang sudah dibuang selepas pembedahan.

Presiden Persatuan Kajian Kesakitan Malaysia (MAPS), Dr Mary Cardosa, berkata kesakitan masih boleh dirasai selepas luka sembuh dalam tiga bulan kerana kebanyakan tisu hanya akan pulih selepas tempoh berkenaan.

"Rasa sakit akibat penyakit sistem saraf berbeza dengan kesakitan biasa yang dikenali sebagai kesakitan akut atau nociceptif, iaitu sakit dirasai kerana ada sebab yang boleh dilihat.

"Berbanding kesakitan nociceptif yang boleh dirawat menggunakan ubat penahan sakit seperti paracetamol, neuropatik pula perlu menggunakan ubat seperti anti kemurungan dan konvulsi," katanya.

Kongsi kesakitan dengan jelas

KESAKITAN berterusan ini sebenarnya berpunca daripada sistem saraf yang membawa isyarat salah daripada bahagian luka kepada saraf tunjang dan otak.
KESAKITAN berterusan ini sebenarnya berpunca daripada sistem saraf yang membawa isyarat salah daripada bahagian luka kepada saraf tunjang dan otak.

Dr Mary berkatga, penghidap neuropatik tidak boleh membiarkan rasa sakit yang dialami dan perlu berjumpa pakar kesakitan berbanding doktor biasa untuk mencari puncanya.

Pesakit juga perlu menerangkan dengan jelas kepada pakar, apakah dan bagaimana bentuk kesakitan yang dialami bagi menentukan sama ada kesakitan itu adalah jenis akut atau kronik.

"Kalau tidak dapat diketahui puncanya, pesakit perlu belajar untuk hidup dengan penyakit dialami yang menyebabkan mereka berasa sedih dan tidak percaya tiada ubat yang boleh mengubatinya.

"Ia seperti diabetes, pesakit terpaksa hidup dengannya secara normal tetapi perlu mengubah cara hidup termasuk daripada segi diet," katanya.

Jangan biarkan diri bersendirian

Pesakit kronik lazimnya akan berasa tertekan dengan penyakit dialami sehingga terpaksa berhenti bersosial akibat sakit yang berterusan, sukar bekerja dan menyebabkan ketidakupayaan serta penderitaan.

Penghidap penyakit saraf perlu belajar cara untuk menyekat isyarat kesakitan yang diterima, misalnya dengan bersenam, berseronok bersama rakan dan menenangkan diri.

Kaedah ini dapat membebaskan hormon endorfin yang berfungsi sebagai penahan sakit semula jadi.

Bersendirian akan menyebabkan kesakitan lebih dirasai berbanding ketika sedang bergembira bersama keluarga dan rakan.

KEADAAN ini adalah sejenis sakit kronik atau neuropatik yang salah satunya dikenali sebagai 'sindrom anggota badan hantu' kerana pesakit merasai sakit pada bahagian tubuh yang sudah dibuang selepas pembedahan.
KEADAAN ini adalah sejenis sakit kronik atau neuropatik yang salah satunya dikenali sebagai 'sindrom anggota badan hantu' kerana pesakit merasai sakit pada bahagian tubuh yang sudah dibuang selepas pembedahan.

INFO:

Jenis kesakitan:

* Akut (Nociceptif)

Rasa sakit yang dialami dalam jangka pendek dan sembuh selepas dirawat.

* Konik (Neuropatik)

Sakit berterusan seperti periferal neuropati akibat kencing manis, sakit belakang kronik.

Punca Neuropatik;

* Trauma akibat kecederaan dialami.

* Jangkitan penyakit.

* Mampatan saraf periferal.

* Penyakit metabolik (diabetes melitus).

* Jangkitan (sklerosis pelbagai, rheumatoid arthritis).

* Ubat dan toksin (alkohol, racun arsenik).

* Agenetik.

* Idiopatik (tidak diketahui punca).

Gejala:

Pelbagai rasa sakit termasuk:

* Kehilangan atau kerosakan kualiti deria.

* Berasa semut semut, kebas dan kurang sensasi deria.

* Rasa peka kepada rasa sakit (hiperalgesia atau alodinia).

* Rasa terbakar yang berterusan.

Pengesanan atau Diagnosis:

Penyakit neuropatik boleh dikenalpasti menerusi pemeriksaan fizikal:

* Saringan (soalan berdasarkan penerangan secara verbal atau perbualan).

* Ujian ciri kesakitan.

* Pemeriksaan fizikal, terutama neurologi

* Ukuran kesan kesakitan ke atas fungsi dan kualiti kehidupan pesakit.

Kesan:

* Lebih serius, kemerosotan kesihatan berbanding kesakitan biasa.

* Mengehadkan pergerakan pesakit.

* Mengganggu tidur dan keletihan.

* Kos rawatan membebankan terutama jika bergantung kepada ubat.

PRESIDEN Persatuan Kajian Kesakitan Malaysia (MAPS), Dr Mary Cardosa.
PRESIDEN Persatuan Kajian Kesakitan Malaysia (MAPS), Dr Mary Cardosa.
Berita Harian X