Sabtu, 17 Disember 2016 | 12:04am

Pad krapow beef mudah sedia, enak pula

NASI daging Pad krapow beef . - Foto Aziah Azmee

KEENAKAN hidangan Thai sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi. Bukan saja rasa masakannya mewah, tetapi menitikberatkan perincian dan tekstur, biarpun ia hidangan ringkas.

Seperti nasi daging Pad krapow beef, pastinya tidak asing bagi penggemar makanan Thai yang sukakan sentuhan rasa daging lembu pedas dan dihidangkan bersama nasi serta telur mata.

Pemilik bersama Restoran Bangkok Streetfood, Cef Muslim Sadli, berkata nasi daging pad krapow beef adalah daging digoreng dengan kicap dan cili serta kacang panjang.

Katanya, hidangan enak itu turut menggunakan sentuhan daun selasih sebagai penyedap rasa hidangan.

Mudah dihidangkan

"Penggunaan bahan masakan seperti lada merah, sos ikan dan kicap manis menambahkan rasa pedas serta pekat daging digoreng. Ia sesuai untuk makan tengah hari dan malam serta mudah dihidangkan sendiri di rumah untuk keluarga," katanya.

Minggu ini, Aura paparkan resipi mudah pad krapow beef dikongsikan Cef Muslim untuk dicuba pembaca di rumah.

Ia mudah dan menjimatkan jika dijadikan hidangan untuk seisi keluarga dan tetamu berkunjung ke rumah pada hujung minggu.

Info

Phad kra pao gai

- Phad kra pao gai atau daging cincang pedas juga hidangan istimewa masyarakat Selatan Thailand.

- Ia menyelerakan, malah mudah dan cepat disediakan.

- Hidangan ini enak dinikmati bersama nasi panas atau dengan daun salad segar bagi mereka mahukan alternatif lebih sihat.

- Kualiti protein yang digunakan untuk menyediakan phad kra pao ini harus segar bagi mengekalkan keaslian rasanya.

- Secara tradisional, hidangan ini menggunakan daging atau ayam cincang dan digoreng secara `estir-fry' bersama daun selasih Thai.

- Boleh juga digantikan dengan makanan laut atau cendawan enoki untuk kelainan.

Nasi pad krapow beef

BAHAN-BAHAN. - Foto Aziah Azmee

- 50gram (g) daging cincang

- 3 tangkai lada Thai

- 5 hingga 10 helai daun selasih Thai

- 20g bawang putih

- 1 sudu teh sos tiram

- 1 sudu besar sos ikan

- 2 sudu teh gula

- 1 sudu besar stok serbuk ayam

Cara penyediaan

Panaskan kuali dengan satu sudu minyak masak. Masukkan daging cincang dan kacau hingga masak selama dua hingga tiga minit.

Tumis bawang putih dan cili api dan daun selasih selama 20 saat sehingga naik bau.

Masukkan cili ditumbuk.

Masukkan sos tiram dan sos ikan serta kacau sehingga sebati.

NASI daging Pad krapow beef . - Foto Aziah Azmee

Daging krapow sudah boleh dihidangkan dengan telur mata goreng dan nasi putih.

Berita Harian X