Khamis, 15 Disember 2016 | 1:25pm

Ayda teruja jayakan konsert ambang Tahun Baharu

JURUCAKAP penganjur, DSK Events Management, Datuk Sharifah Kadnariah Syed Ahmad (kiri) bersama pelakon, Roslan Shah (tengah) dan Ayda Jebat. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Ayda Jebat mengakui cukup teruja untuk menjayakan konsert ambang Tahun Baharu pada 31 Disember ini sempena Fiesta 2017.

Lebih bermakna dan membanggakan dirinya, beliau bersama-sama Tia Jimbara, Sheeda dan Roslan Shah akan menghiburkan peminat di negeri kelahirannya sendiri, Melaka.

Konsert berkenaan yang bakal diadakan di Tanjung Bidara Beach Resort menjadi detik kemuncak bagi acara yang bermula pada 30 Disember sehingga 1 Januari depan.

AYDA Jebat mengakui cukup teruja untuk menjayakan konsert ambang Tahun Baharu pada 31 Disember ini. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

"Memang saya cukup teruja untuk menghiburkan peminat dan pengunjung acara itu nanti. Sebagai artis, persembahan pada konsert ambang Tahun Baharu memang dinanti-nantikan. Kali ini, ia lebih istimewa kerana saya diundang mengadakan persembahan di lokasi yang sangat istimewa di hati.

"Pastinya pada konsert yang akan berlangsung selama tiga jam itu, saya akan menyanyikan beberapa lagu yang memperkenalkan saya di persada seni," kata penyanyi lagu Pencuri Hati dan Siapa Diriku itu.

Sementara itu, jurucakap penganjur, DSK Events Management, Datuk Sharifah Kadnariah Syed Ahmad, menyifatkan pemilihan artis terutama Ayda bertepatan dengan populariti yang diraih ketika ini.

"Semua orang tahu impak artis bernama Ayda Jebat. Kita percaya beliau ada aura tersendiri yang mampu menarik pengunjung ke acara ini. Malah, barisan artis lain yang kami sediakan juga mengimbangi antara yang baharu dan lama. Kita turut merisik beberapa lagi artis untuk memeriahkan konsert ini," katanya.

Menurutnya, Melaka menjadi pilihan syarikat terbabit kerana ia mempunyai potensi untuk menarik pelancong luar.

"Cuti sekolah yang sedang berlangsung juga dapat dimanfaatkan ahli keluarga untuk bersantai bagi mengisi masa senggang," katanya.

Penganjur turut menyediakan 120 gerai jualan kepada orang awam yang ingin berniaga, selain 15 gerai khas bagi golongan artis. Kepada yang berminat untuk membuka gerai jualan pada acara terbabit boleh berkunjung ke halaman Facebook, Tanjung Bidara Beach Resort Fiesta 2017.

Berita Harian X