Khamis, 15 Disember 2016 | 12:09am

Ladang 16 UPM buat pelancong teruja

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Bahagian eDU-PARK, Putra Science Park, kini menawarkan pakej edu-pelancongan berupa lawatan berpandu ke lokasi tarikan kampus yang membolehkan pengunjung menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman interaktif sejajar tagline 'Play, Learn and Stay Young'.

Lokasi terbabit yang dikenali sebagai Ladang 16 UPM, menempatkan lapan destinasi menarik meliputi ladang rusa, lembu tenusu dan kancil serta taman ekuin bersama aktiviti menyeronokkan.

Pengunjung juga berpeluang melawat Muzium Anatomi Haiwan yang antara lain mempamerkan rangka dan organ dalaman sudah diawet, selain menelusuri sejarah tradisi di Muzium Warisan Melayu.

Wartawan Varsiti BH turut berkesempatan menerokai destinasi itu baru-baru ini, melalui lawatan dibawa pelajar UPM yang menjadi sukarelawan mencurah khidmat menjaga lokasi berkenaan.

ROMBONGAN kanak-kanak melawat Ladang 16 UPM. - Foto Adi Safri

AKTIVITI merapikan kuda turut menarik perhatian pengunjung. - Foto Adi Safri

PELAWAT diberi penerangan mengenai Muzium Anatomi Haiwan. - Foto Adi Safri

Modul lawatan

Sukarelawan merangkap pelajar Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Mohamed Shafiq Mohamed Ayub, 25, berkata antara aktiviti dijalankan ialah Farm Feed Fun @ UPM yang membolehkan pelawat mendekati haiwan jinak seperti lembu, rusa serta kuda.

Beliau berkata, pelawat boleh turut menjejakkan kaki ke Galeri Serdang, Taman Konservatori dan Muzium Anatomi Manusia, di samping menyaksikan demonstrasi memasak oleh cef restoran L'Apprenti UPM dan mengunjungi jualan hasil tani serta produk UPM.

"Usaha ini bertujuan mempromosikan dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai program edu-pelancongan di UPM. Modul lawatan dibangunkan secara khas ini sesuai untuk segenap lapisan umur masyarakat daripada peringkat kanak-kanak tadika hingga orang dewasa," katanya.

PELAWAT melihat rangka haiwan yang dipamerkan di Muzium Anatomi Haiwan. - Foto Adi Safri

MUZIUM Anatomi Haiwan mempamerkan rangka dan organ dalaman haiwan yang diawet. - Foto Adi Safri

Dapat pengiktirafan

Mohamed Shafiq berkata, program diperkenalkan sejak Jun 2013 itu mendapat pengiktirafan daripada Tourism Malaysia dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Program ini secara langsung menyahut aspirasi untuk mendekatkan masyarakat kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan santai serta menyeronokkan," katanya.

Selain beliau, dua lagi pelajar fakulti sama turut berbakti sebagai sukarelawan menjaga sekitar kawasan terbabit, iaitu Muhamad Firdaus Daud dan Nahariah Abd Razak.

LADANG Tenusu antara lokasi tarikan pengunjung ditawarkan dalam pakej pelancongan oleh UPM. - Foto Adi Safri

INFO: Ladang 16 UPM

  • 1,000 hektar keluasan
  • 8 destinasi kunjungan
  • Muzium Anatomi Haiwan dibuka jam 9 pagi - 4 petang setiap Isnin hingga Jumaat

PENGUNJUNG seronok dapat mendekati rusa di Ladang 16 UPM. - Foto Adi Safri
KUDA antara haiwan tumpuan pengunjung di Ladang 16 UPM. - Foto Adi Safri
ELIZABETH Wong. - Foto Adi Safri
DR Nurul Ain Mohd Hassan. - Foto Adi Safri
DR Mohd Mokrish Md Ajat. - Foto Adi Safri
MOHAMED Shafiq Mohamed Ayub. - Foto Adi Safri
Berita Harian X