Rabu, 14 Disember 2016 | 3:35pm

Alif Satar tak sabar tunggu 2017

PENYANYI dan pengacara, Alif Satar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara yang makin memuncak popularitinya, Alif Satar tidak sabar menunggu tahun 2017 yang menjanjikan anjakan baharu dalam kerjaya seni.

Alif yang digelar 'Papa Hot' memberitahu BH Online, dia akan muncul dalam projek pementasan teater muzikal Dia Semanis Honey di Panggung Sari, Istana Budaya, awal tahun depan.

"Alhamdulillah, tahun 2016 yang bakal ditinggalkan memberi memori manis dan indah buat Alif.

"Selepas sedekad membina nama, lakonan Alif dalam drama Dia Semanis Honey diterima. Impaknya cukup besar kepada kerjaya seni. Alif anggap ia rezeki anak... Ia seperti magis," katanya.

Alif berkata, faktor kombinasi yang baik dan peranan semua pihak dalam menjayakan drama Dia Semanis Honey menyumbang kepada kejayaan produk itu.

"Daripada pengarah, pelakon dan kru, semua saling membantu. Ia umpama projek keluarga. Magis itu terjadi ketika pembikinan dan di set penggambaran hingga terserlah di skrin televisyen (TV).

"Pastinya versi teater kelak akan memberi 1,001 macam terjemahan buat saya dan teman-teman lain," katanya.

Teruja beraksi di pentas teater, Alif berkata, hampir semua artis yang terbabit dalam projek ini berkebolehan menyanyi.

"Kebanyakan pelakon yang terbabit dalam drama adalah penyanyi. Kita ada penyanyi lama seperti Ahmad Fauzee, Siti Nordiana dan Dafi selain saya sendiri.

"Apa yang berbeza hanyalah lakonan di pentas teater berbanding penggambaran untuk drama," katanya.

Teater muzikal Dia Semanis Honey diarahkan Dira Abu Zahar dan Syed Zalihafee.

Berita Harian X