Ahad, 11 Disember 2016 | 3:12pm
Saharul Ridzwan pada Sidang Media Anugerah Melodi di Theatrette Balai Berita Bangsar. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Saharul Ridzwan, isteri tunai umrah bulan depan

SEWAKTU majis perkahwinan Saharul Ridzwan dan Qaabila Deena Emir, September lalu. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Sekalipun tidak mampu merealisasikan hasrat berbulan madu pada tahun ini selepas bernikah dengan Qaabila Deena Emir sejak 16 September lalu, Saharul Ridzwan bagaimanapun bersyukur keinginan itu bakal menjadi tahun hujung tahun hadapan.

Pasangan ini akan ke sana dari hujung Januari hingga pertengahan Februari.

Selepas hampir empat bulan berkahwin, dek komitmen kerja seni, impian ke Tanah Suci Makkah itu tergendala seketika.

"Alhamdulillah dapat juga saya dan isteri ke sana bulan depan. Semoga ibadat dan kunjungan kami ke sana akan dipermudahkan. Ia menjadi kali kedua saya mengerjakan umrah. Cuma kali ini bersama isteri tersayang.

"Bulan ini saya dan isteri akan mula mencuri masa mengikuti kursus umrah," katanya yang baharu sahaja selesai penggambaran telefilem Bo Bajet sekali lagi bergandingan dengan Janna Nick.

Sebelum itu, Saharul ada membawa Qaabila bercuti di Singapura, Batam dan Bangkok. Bagaimanapun, ia bukan percutian peribadi sebaliknya bersama rombongan dan pihak penaja.

"Syarikat produksi Global Station turut membenarkan saya membawa isteri menaiki kapal mewah menuju ke Phuket dan Krabi ketika menjalani penggambaran drama Arluna bersama Anzalna dan pelakon lain," katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya, selain Bo Bajet dan drama Arluna, dia juga bakal muncul dalam telefilem berjudul Trauma arahan Jinggo yang diterbitkan JS Pictures.

Telefilem itu dijangka disiarkan sempena Anugerah Festival Kuala Lumpur tahun hadapan. Trauma turut dibintangi Janna Nick, Zara Zya, Idris Khan, Raja Afiq dan Dayana Roza.

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim dan Qaabila bernikah pada 16 September lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Berita Harian X