Sabtu, 10 Disember 2016 | 8:33pm

Hantar pulang semua pekerja Myanmar: Pekida Pahang

PENGERUSI PEKIDA Pahang, Datuk Ngah Ismail (tengah atas) bersama ahli-ahli membuat hadir pada perhimpunan aman membantah penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu oleh segelintir rakyat Myanmar di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
PENGERUSI PEKIDA Pahang, Datuk Ngah Ismail (tengah atas) bersama ahli-ahli membuat hadir pada perhimpunan aman membantah penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu oleh segelintir rakyat Myanmar di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Pahang meminta kerajaan menghantar pulang pekerja Myanmar berikutan tindakan segelintir rakyatnya menghina Raja-Raja Melayu dan kekejaman ke atas etnik Rohingya.

Pengerusinya, Datuk Ngah Ismail, berkata tindakan pihak terbabit meletakkan selipar dan pakaian dalam pada gambar Raja-Raja Melayu adalah satu penghinaan dan menyentuh sensitiviti rakyat negara.

Katanya, tindakan segelintir rakyat Myanmar itu mungkin kerana tertekan melihat kepada perhimpunan membela nasib etnik Rohingya diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu yang mendapat sokongan padu.

"Apabila mereka menyentuh Raja-Raja Melayu, sudah tentu ia mendatangkan kemarahan rakyat terutamanya orang Melayu, jadi kita minta kerajaan ambil tindakan dengan menghantar pulang semula pekerja Myanmar dan memutuskan hubungan diplomatik.

"Malaysia tidak akan terjejas sekiranya pekerja Myanmar dihantar semula kerana kita mempunyai sumber pekerja dari negara lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan aman membantah penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu oleh segelintir rakyat Myanmar di sini, hari ini.

Selain itu, Ngah yang juga Naib Presiden PEKIDA Kebangsaan, berkata pihaknya membuat laporan polis terhadap seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang didakwa menghina Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Katanya, pihaknya mempunyai bukti penghinaan dilemparkan individu berkenaan yang juga seorang daripada peserta program realiti agama hanya kerana Abdul Rahman tidak bersetuju dengan aliran Wahabi.

"Kita minta polis siasat individu berkenaan kerana apabila Mufti Pahang dihina dengan dakwaan sesat secara tidak langsung ia juga turut menghina Sultan Pahang (Sultan Ahmad Shah) kerana status mufti sebagai penasihat tuanku dan meminta JAIP supaya siasat kakitangan mereka itu dan ambil tindakannya sekiranya siasatan dia benar-benar menghina mufti," katanya.

Berita Harian X