Isnin, 5 Disember 2016 | 12:06pm

Rasuah: Bekas juruteknik didenda RM10,000, penjara

AYER KEROH: Seorang bekas juruteknik didenda RM10,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM500 kepada pegawai polis bagi tujuan melepaskan diri daripada ditahan di Taman Semabok Perdana, di sini, Ogos lalu.

Hairulnizam Abdul Hamid, 44, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim, Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Hairulnizam didakwa memberi suapan tunai RM500 kepada pegawai polis berpangkat inspektor dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana kesalahan bermain judi dalam talian secara haram.

Kesalahan didakwa dilakukan di tingkat dua sebuah premis kedai di Taman Semabok Perdana di sini pada jam 6.45 petang, 23 Ogos lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

PEGAWAI SPRM membawa Hairulnizam (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen 1 atas pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
PEGAWAI SPRM membawa Hairulnizam (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen 1 atas pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Faizul Abd Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X