Isnin, 5 Disember 2016 | 11:45am

Kami berlatih simulasi di Argentina - Pochettino

Dele Alli

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino mempertahankan pemain tengah, Dele Alli daripada tuduhan melakukan simulasi untuk mendapatkan sepakan penalti ketika berdepan Swansea, kelmarin.

Malah, Pochettino turut mendedahkan bagaimana beliau dan rakan sepasukannya berlatih untuk menjatuhkan diri bagi mendapatkan penalti ketika zaman remajanya di Argentina.

Alli dikritik secara meluas selepas dikatakan berlakon untuk mendapatkan penalti buat Spurs di babak pertama ketika skuad itu mencipta kemenangan 5-0 di White Hart Lane dan peluang itu disempurnakan Harry Kane.

Pochettino menjelaskan bagaimana beliau dan rakan sepasukan di Newell's Old Boys berlatih untuk menjatuhkan badan ketika sesi latihan.

"Ya, di Argentina, kadang-kadang pemain melakukan latihan (bagaimana menjatuhkan badan), ia benar," kata Pochettino.

"Tapi itu beberapa tahun lalu. Sekarang saya tidak tahu. Tapi ketika saya menjadi seorang pemain, ia adalah sebahagian daripada latihan untuk cuba menipu dalam permainan.

"Di Newell, ramai, beberapa tahun yang lalu, ia adalah sebahagian daripada latihan."

Pochettino mengakui menjatuhkan badan tidak lagi menjadi tindakan yang buruk dan menceritakan kembali saat dia dihukum kerana menjatuhkan penyerang England, Michael Owen pada Piala Dunia 2002.

"Ia adalah 15 tahun yang lalu apabila Owen menjatuhkan badan," kata Pochettino.

"Jangan percaya bahawa bola sepak Inggeris sentiasa mempamerkan permainan yang adil kerana Owen melompat seperti dia berada di kolam renang.

"Saya fikir bola sepak hari ini adalah global. England lebih seperti bola sepak Eropah. Sekarang kita mempunyai pengaruh orang Latin yang sentiasa cuba untuk menipu," katanya. - AFP

Berita Harian X