Ahad, 4 Disember 2016 | 5:26pm
PEMAIN Tottenham Hotspur, harry Kane cuba melepasi pertahan pemain Swansea pada saingan Liga Perdana Inggeris di White Hart lane. - Foto AFP

Swansea jadi 'mangsa' kebangkitan Spurs

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, menyifatkan kejayaan membenam Swansea 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin sebagai 'kemenangan besar'.

Dua gol daripada Harry Kane, sepakan voli menarik Son Heung-Min dan dua jaringan lewat permainan Christian Eriksen, memastikan Spurs bangkit dengan penuh bergaya daripada kekalahan kepada Monaco dan peneraju Liga Perdana, Chelsea, yang kini terpisah dengan tujuh mata.

"Saya fikir kami memang berhak untuk keputusan ini. Kami menguasai dan bermain dengan baik. Mereka tidak membuat percubaan tepat dan mencipta sebarang gerakan berbahaya.

"Ia adalah persembahan yang hebat, lengkap. Saya gembira dan kami memerlukannya.

"Tetapi ia bukan satu daripada persembahan terbaik musim ini. Ketika menentang Manchester City, kami lebih baik. Ia amat penting untuk merapatkan diri dengan pasukan teratas. Kredit kepada pemain saya juga," kata Pochettino.

Kane telah meledak enam gol dalam lima aksi sejak kembali daripada kecederaan buku lali dengan dia turut mengikat kontrak baharu selama lima tahun setengah, minggu ini.

Pengurus kelahiran Argentina itu turut berpuas hati dengan prestasi Dele Alli,yang terbabit dalam empat gol, termasuk penalti kontroversi yang disudahkan Kane pada minit ke-38 selepas kelihatan mudah merebahkan badan ketika dicabar Kyle Naughton.

Rakan sejawatnya di Swansea, Bob Bradley pula berang dengan keputusan pengadil Jon Moss menghadiahkan penalti terbabit.

"Saya fikir ia adalah keputusan yang silap. Pengadil tidak berada pada kedudukan terbaik," kata Bradley. - AFP

Berita Harian X