Sabtu, 3 Disember 2016 | 8:22pm

Pemuda ditahan kes tetak penarik kereta

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes tetak penarik kereta sehingga maut di Tanah Merah, dekat sini, semalam ditahan polis di Jalan Bayam, pagi tadi.

Suspek berusia 30 tahun yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau itu ditahan jam 11.45 pagi oleh sepasukan polis.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan sehingga mengakibatkan seorang penarik kereta, Wan Ishak Wan Daud, 48, maut ditetak.

"Pemeriksaan mendapati tubuh suspek mempunyai kesan luka di jari telunjuk, tapak tangan dan telinga kanannya dipercayai akibat kejadian itu.

"Malah, suspek juga mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan memiliki senjata api dan peluru selain pernah dihukum oleh mahkamah kerana mencuri kenderaan," katanya ketika dihubungi.

Din berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian 2 pagi semalam, seorang penarik kereta, Wan Ishak Wan Daud, 48, maut selepas ditetak menggunakan pedang oleh enam lelaki bertopeng yang menyamar sebagai anggota polis di Kampung Air Merah, Batu Gajah, Tanah Merah.

Wan Ishak ditemui mati di tepi rumahnya dengan kesan kecederaan parah di belakang badan dan kaki kiri, manakala pergelangan tangan kanan hampir putus.

Berita Harian X