Sabtu, 3 Disember 2016 | 3:35pm

Polis buru suspek samun, cederakan orang awam

KUALA LUMPUR: Polis memburu dua lelaki yang mendalangi satu kes samun bersenjata dan mencederakan orang awam di Jalan Midah Tengah 2, Taman Midah, Cheras di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah terlebih dahulu dilihat berlegar-legar di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri dua wanita yang sedang berdiri di luar rumah.

Seorang suspek kemudian mengeluarkan parang dan mengugut mangsa menyerahkan wang serta barang berharga milik mereka sebelum memecut melarikan diri.

Bagaimanapun, motosikal suspek berlanggar dengan sebuah kereta jenis Honda yang kebetulan lalu dan ternampak kejadian itu, menyebabkan kedua-dua suspek jatuh.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata seorang penumpang kereta berkenaan kemudian keluar dan membaling kon trafik ke arah suspek bagi menghalangnya melarikan diri.

"Seorang suspek yang berparang bertindak balas dengan melibas senjata berkenaan ke arah pemandu kereta itu menyebabkannya luka pada bahu kanan.

"Kedua-dua suspek berjaya meloloskan diri, bagaimanapun jam tangan dan beg galas seorang daripadanya tertinggal. Pemeriksaan mendapati ia mengandungi pemutar skru dan sepana," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dua mangsa yang disamun tidak mengalami sebarang kecederaan namun dua telefon bimbit jenis iPhone 5 dan Nokia serta wang tunai berjumlah RM210 milik mereka dilarikan suspek.

"Mereka tidak dapat melihat wajah suspek kerana memakai topi keledar berpenutup namun ketika kejadian, suspek yang menunggang motosikal memakai topi keledar merah, kemeja-T putih dan hijau serta berseluar pendek manakala rakannya memakai topi keledar hitam, baju warna gelap dan seluar panjang.

"Semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal suspek mendapati ia adalah nombor palsu yang mana ia adalah nombor pendaftaran milik sebuah PROTON Saga FLX," katanya.

Susulan kejadian itu, satu rakaman video dipercayai dirakam penduduk yang menyaksikan kejadian itu menjadi viral di media sosial sejak semalam.

Rakaman video berdurasi 52 saat itu menunjukkan detik seorang penumpang kereta membaling kon trafik ke arah suspek sebelum berjaya melarikan diri.

Berita Harian X