Jumaat, 2 Disember 2016 | 5:59pm

`Ulat' di KLIA, klia2 didakwa dalam 24 jam

SEPANG: Pelancong luar negara yang mencari pengangkutan awam sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 kini menjadi sasaran 'ulat' teksi haram.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata pelbagai teknik digunakan 'ulat' bagi mendekati pelanggan mereka, sekali gus memerlukan pihak berkuasa turut meningkatkan penguatkuasaan.

Beliau mendedahkan, antara taktik terbaharu digunakan 'ulat' berkenaan ialah dengan menawarkan jualan kad sim telefon bimbit kepada mangsa sebelum menawarkan khidmat teksi secara haram ke sebarang lokasi.

"Mereka mencari dan memujuk penumpang menggunakan khidmat penghantaran sedangkan ada teksi dan bas di lapangan terbang, cuma mangsa tidak tahu (lokasi kemudahan awam).

"Sebagai contoh di KLIA, terminal ketibaan berada jauh dari stesen bas. Jadi, peluang ini digunakan 'ulat' untuk merayau di semua kawasan lapangan terbang mencari pelanggan," katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Sepang, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pihak SPAD menempatkan pegawai di KLIA dan klia2 bagi membanteras sebarang kegiatan 'ulat' dan memantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV), menyamar dengan berpakaian biasa selain memerhatikan keadaan di situ.

Kata Che Hasni, pihaknya sentiasa melakukan operasi membanteras 'ulat' di KLIA dan klia2, malah boleh dikatakan setiap hari ada sahaja individu ditahan sepanjang penguatkuasaan dibuat.

"Kes yang diperoleh akan terus diproses dalam tempoh 24 jam serta dibawa ke mahkamah bagi pendakwaan," katanya.

Dalam operasi dibuat di klia2 semalam, beliau memaklumkan, seorang lelaki yang juga 'ulat' berusia 26 tahun ditahan kira-kira jam 10 pagi di Balai Ketibaan lapangan terbang itu dalam operasi membabitkan dua pegawai dan 10 anggota SPAD.

Katanya, tertuduh, S Sandrasegar, dijatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayarnya oleh Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib, manakala pendakwaan dibuat oleh Pegawai Perundangan SPAD, Nor Shahkierra Abd Manan.

"Berdasarkan Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat, mereka yang disabit kesalahan berdepan dengan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Berita Harian X