Jumaat, 2 Disember 2016 | 2:55pm

Parkir Awam Empangan Teluk Bahang dibuka

KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa pada majlis perasmian yang berlangsung di Empangan Teluk Bahang di Balik Pulau, sebentar tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa pada majlis perasmian yang berlangsung di Empangan Teluk Bahang di Balik Pulau, sebentar tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

BALIK PULAU: Parkir Awam Empangan Teluk Bahang yang menyediakan 67 lot parkir kini dibuka secara rasmi untuk kegunaan orang ramai secara percuma.

Parkir awam yang dibina atas tanah milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) disediakan dengan kos bernilai RM478,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa, berkata penyediaan parkir itu diharap akan membantu pembangunan pelancongan negeri ini.

Beliau berkata, parkir yang siap dibina dalam tempoh lapan minggu itu juga adalah projek khidmat awam PBAPP kepada masyarakat.

Katanya, dengan kewujudan parkir ini, ia diharapkan dapat memudahkan pengunjung yang datang ke Entopia, Escape dan Empangan Teluk Bahang bagi aktiviti riadah.

"Kemudahan ini juga akan memberi manfaat bagi program antarabangsa yang diadakan di kawasan ini seperti pertandingan perahu naga, duathlon dan triathlon kelak.

"Kawasan parkir ini turut mencerminkan sokongan PBAPP kepada aktiviti eko-pelancongan untuk terus berkembang di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian yang berlangsung di Empangan Teluk Bahang di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Jaseni berkata, parkir awam itu akan dibuka setiap hari dari jam tujuh pagi hingga tujuh malam.

Beliau berkata, sebanyak 20 lot parkir disediakan untuk bas, kereta (32) dan motosikal (15).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X