Selasa, 29 November 2016 | 3:41pm

Ular sawa baham kambing ditangkap

ULAR sawa batik seberat kira-kira 100 kilogram.

BALING: Kehilangan seekor kambing betina milik penduduk di Kampung Luar Mukim Siong di sini, petang semalam membongkar kewujudan seekor ular sawa batik seberat kira-kira 100 kilogram di kawasan paya berhampiran.

Ular yang kekenyangan selepas menelan seekor kambing ditemui di kawasan paya berair kira-kira 100 meter dari rumah pemilik kambing, Firdaus Abdul Halim, 34.

Firdaus ketika ditemui, mengakui hatinya terdetik bimbang apabila seekor kambing betina miliknya tidak pulang ketika dia membuka pintu kandang petang semalam.

"Hati saya memang rasa mungkin ular sudah telan kambing saya, sebab dua minggu lalu pun kejadian sama berlaku...ketika itu saya tak jumpa ular yang telan kambing saya itu.

"Semalam, ketika mencari (kambing yang hilang), saya terkejut apabila menemui seekor ular sawa dalam paya dengan perutnya besar dipercayai selepas menelan kambing saya," katanya yang kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pegawai APM Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz, berkata sepasukan anggota bergegas ke rumah mangsa dan menemui ular sawa sepanjang kira-kira enam meter itu yang tidak dapat melarikan diri kerana kekenyangan.

"Kita berdepan sedikit kesukaran untuk menangkap kerana ular itu berada dalam paya...kami mengambil masa kira-kira sejam untuk membawa naik ular ke daratan kerana keadaan cuaca gelap, berpaya dan dipenuhi semak," katanya.

Ular sawa itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling.

Berita Harian X