Sabtu, 26 November 2016 | 12:23am

Nikmati mi siput dengan coklat, kaya

MELAKA: Mi siput adalah juadah tradisi kegemaran penduduk Johor, terutama yang tinggal sekitar daerah terletak di utara negeri itu.

Namun, peredaran masa menyaksikan penggemar mi siput berkembang bukan setakat kepada negeri berjiran seperti Melaka, malah hingga ke Lembah Klang.

Mi siput dipercayai mendapat nama daripada bentuknya kerana dibentuk seperti cengkerang siput atau sanggul. Ada juga menggelarnya roti jala kering.

ELMIZAN menunjukkan kepelbagaian bahan pencicah mi siput yang dihasilkannya.
ELMIZAN menunjukkan kepelbagaian bahan pencicah mi siput yang dihasilkannya.

Secara tradisinya, mi siput mentah digoreng dalam minyak panas seperti keropok, sebelum dinikmati bersama sambal ikan bilis, menjadikan ia hidangan popular ketika santai atau berkelah.

Pasar Muar di Johor, adalah antara lokasi yang terbaik kepada orang ramai yang mahu mendapatkan bekalan mi siput.

Menyedari makanan ringan itu semakin digemari kanak-kanak tetapi tidak gemarkan rasa pedas sambal bilis, seorang suri rumah dari Masjid Tanah di sini, Elmizan Alias, 39, bertindak kreatif dengan mempelbagaikan bahan penyicah mi siput yang dihasilkannya.

Beliau yang mengusahakan perniagaan itu di rumahnya dekat Taman Bidara Setia sejak lebih enam bulan lalu, berkata perniagaan makanan ringan yang diusahakannya berkembang di sekitar negeri ini hingga ke Selangor menerusi tempahan dalam kalangan penduduk setempat, sekolah dan pusat pengajian tinggi.

"Saya melakukan sedikit inovasi pada mi siput ini dengan menambah sos berperisa coklat dan pandan bagi menggantikan sos sambal ikan bilis, sekali gus membolehkannya sesuai untuk dimakan golongan kanak-kanak atau mereka yang tidak sukakan pedas.

"Sambutan terhadap perisa baharu ini amat memberangsangkan walaupun sebelum ini secara tradisinya mi siput hanya dicicah sambal pedas. Dengan mempelbagaikan perisanya, lebih ramai berpeluang menikmati kerangupan mi siput," katanya.

Beliau menjual mi siput yang siap digoreng bersama sos itu pada harga RM1.50 sekeping.

Mengenai pembuatan makanan itu, Elmizan berkata, penghasilan mi siput tidak begitu sukar ekoran penggunaan mesin penguli yang mempercepatkan proses.

Katanya, makanan itu disediakan dengan penggunaan bahan asas tepung gandum yang perlu diuli dengan ramuan mi kuning seterusnya digulung berbentuk bulat serta dikeringkan di bawah pancaran cahaya matahari.

"Jika tidak kena pada cara menjemur, mi boleh basi walaupun sudah kering.

"Selepas kering secukupnya, ia boleh digoreng dengan kepanasan api yang sesuai," katanya.

ELMIZAN dibantu anaknya membuat kerja pembungkusan mi siput.
ELMIZAN dibantu anaknya membuat kerja pembungkusan mi siput.

Ibu kepada empat anak itu, berkata penghasilan sambal atau kuah mi siput pula sama seperti membuat sambal tumis ikan bilis biasa, bezanya semua bahan termasuk ikan bilis perlu ditumbuk lumat supaya kuahnya lebih enak.

"Keenakan mi siput bergantung kepada kuahnya (sambal). Jika mahu lebih sedap, masukkan sedikit gula ke dalam sambal, tetapi jangan terlalu manis.

"Mi pula perlu digoreng dalam minyak yang benar-benar panas supaya mi kembang dan rangup,"katanya.

Sementara itu, suaminya Elmizan, Zakaria Jalil, 51, berkata makanan itu bukan sekadar enak, malah berkhasiat dan sesuai dinikmati semua peringkat usia termasuk kanak-kanak.

"Walaupun bahan mi siput mudah, hanya gunakan tepung, tetapi ia mengandungi protein dan kalsium terutama dari sambal ikan bilis.

"Sebenarnya kudapan tradisional macam ini lebih baik, berbanding makanan ringan lain yang banyak menggunakan pewarna serta serbuk perasa," katanya.

Zakaria berkata, buat masa ini dia menyediakan mi siput mentah di rumah saudaranya di Muar dan dalam tempoh terdekat bercadang untuk memproses sendiri di rumahnya.

Secara purata, pasangan itu menghasilkan antara 20 hingga 30 kilogram mi siput mentah sehari, di samping menjual lebih 250 bungkusan yang siap dimasak setiap hari membabitkan tiga perisa yang disediakan itu.

ELMIZAN Alias bersama anaknya menunjukkan mi siput mentah.
ELMIZAN Alias bersama anaknya menunjukkan mi siput mentah.
ELMIZAN menunjukkan mi siput yang sudah digoreng.
ELMIZAN menunjukkan mi siput yang sudah digoreng.
ELMIZAN menunjukkan cara-cara menggoreng mi siput.
ELMIZAN menunjukkan cara-cara menggoreng mi siput.
ELMIZAN membuat kerja pembungkusan mi siput.
ELMIZAN membuat kerja pembungkusan mi siput.
Berita Harian X