Khamis, 24 November 2016 | 1:42pm

Proton lancar MPV Ertiga

SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd hari ini melancarkan model terbaharunya, Proton Ertiga iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak berstatus kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama negara.

MPV enam tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin 1.4 Liter VVT itu ditawarkan dalam varian transmisi manual lima kelajuan 1.4L Eksekutif (MT); transmisi automatik empat kelajuan 1.4L Eksekutif (CVT) dan 1.4L Eksekutif Plus (CVT).

Varian 1.4L Eksekutif MT ditawarkan pada harga RM58,800, 1.4L Eksekutif CVT (RM61,800) dan Eksekutif Plus CVT (RM64,800).

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata Proton Ertiga adalah model pertama hasil kerjasama Proton dan Suzuki Motor Corporation Japan.

Selain menawarkan penjimatan minyak, katanya, MPV kompak EEV pertama di Malaysia itu turut menepati cita rasa dinamik dan gaya hidup keluarga moden masa kini.

"Ia direka dengan menawarkan keluasan ruang dan keselesaan," katanya pada pelancaran Proton Ertiga di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil.

MPV keluarga itu dilengkapi enjin 1.4 VVT yang diperbuat daripada aluminium ringan untuk semua varian. Selain itu, teknologi drive-by-wire memantapkan lagi prestasi kereta untuk lebih responsif.

Proton Ertiga kini boleh dipandu uji dan ditempah di semua cawangan Proton Edar seluruh negara.

Info:

  • Proton Ertiga turut menawarkan tempat duduk fabrik kalis air
  • Saiz tangki 45 liter untuk perjalanan lebih jauh
Berita Harian X