X
Selasa, 22 November 2016 | 2:05pm

Didenda kerana hina PM di media sosial

TERTUDUH, Mohamad Arif Fadila Arbain (tengah) sedang berbincang dengan kedua ibu bapanya sebelum proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini.
TERTUDUH, Mohamad Arif Fadila Arbain (tengah) sedang berbincang dengan kedua ibu bapanya sebelum proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR: Seorang penganggur didenda RM9,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menghantar komen lucah kepada Perdana Menteri menerusi aplikasi Twitter, Disember tahun lalu.

Mohamad Arif Fadila Arbain, 26, dari Tandop, di sini mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan Twitter atas nama @SangAlgojoe secara sedar membuat komen yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati yang dibaca di Stadium Darul Aman, di sini pada 10 Januari lalu.

Kesalahan itu dilakukan pada 1 Disember 2015, jam 9.32 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari bagi setiap kesalahan selepas sabitan.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Wei Yong.

Mahkamah mengenakan denda RM9,500 selepas mengambil kira kesalahan serius membabitkan tindakan menghina Perdana Menteri.

Berita Harian X