Selasa, 22 November 2016 | 12:03am

Busana Rico Rinaldi gabungkan budaya Malaysia dan Jepun

MENYINGKAP koleksi demi koleksi busana rekaan, Rico Rinaldi Tono (Rico) tidak pernah mengecewakan.

Koleksinya boleh diterima khususnya dalam kalangan pencinta fesyen yang mahu mencari kelainan dan memahami naluri mereka untuk tampil anggun, eksklusif serta gaya tersendiri.

Koleksi terbaharu diperagakan ketika Minggu Fesyen Singapura 2016, dua minggu lalu menyerlahkan kreativiti beliau menyelami keunikan adat, budaya dan warisan Jepun untuk diterapkan pada kesemua 39 busana sedia dipakai (RTW).

Ternyata kolaborasi Rico dengan pengeluar tekstil Jepun, Tomita Senkougei kali ini amat menjadi selepas kedua-duanya serasi sewaktu kali pertama bekerjasama menghasilkan pakaian RTW, Koleksi Summeraya Bespoke, pada Mei lalu .

Mengamati koleksinya, Rico bijak mencari kelainan. Mengambil inspirasi sejarah pakaian tradisional Jepun, Kimono, suasana keindahan geografi, bunga-bungaan, buluh, air terjun dan lain-lain keunikan di negara Matahari Terbit itu, diadunkan dalam helaiannya kali ini.

Menggunakan fabrik asas seperti, obi, satin, oganza dan sifon sebagai keutamaan menghasilkan busana terbabit.

Untuk tampak lebih eksklusif dan anggun, Rico menambah perincian batu permata, manik dan labuci yang dijahit begitu kemas pada blouse, skirt dan gaun.

KOLEKSI Rico Rinaldi cetusan sumber ilham budaya Jepun.

Beri nafas baharu

Mengulas mengenai rekaannya, Rico berkata, pilihannya berkolaberasi dengan rekaan kali ini dengan Tomita melengkapkan impiannya untuk memberikan nafas baharu dalam dunia fesyen.

Katanya, gabungan aspek tradisional dan moden berlatar belakang budaya Jepun menjadikan rekaan ini sempurna.

"Saya menyelami setiap inci sejarah di Jepun. Kehidupan masyarakat, alam sekitar, adat resam, muka bumi, iklim empat musim, cara berpakaian dan hasil seni kraf tangan.

"Bunga mekar, daun, buluh dan air terjun memberikan inspirasi untuk saya diketengahkan.

"Malah apabila budaya kedua-dua negara antara Malaysia dan Jepun ini digabungkan ia memberikan sesuatu yang unik, " katanya.

MAINAN motif alam, flora dan fauna menjadikan rekaan lebih unik.

Gabungan dua negara

Pemenang Anugerah Pereka Terbaik Berita Harian dan Anugerah Pereka Muda Terbaik ini berkata, antara konsepnya ialah berlandaskan pada elemen alunan ombak yang kemudian diterjemahkan pada rekaan busana.

Dari segi warna beliau menggunakan rona alam semula jadi, tanah dan pastel pada setiap rekaannya.

Rico berkata, beliau yakin rekaannya mampu memikat penggemar fesyen terutama wanita moden, selain sesuai digayakan untuk pelbagai majlis.

Katanya, sebelum memulakan kerjasama itu, beliau dan Presiden Tomita Senkougei, Atsushi Tomita banyak berbincang mengenai konsep rekaan terbabit agar ia memberikan yang terbaik dan tepat pada konsep diketengahkan.

Matlamat kerjasama itu juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan Jepun yang mahu mengembangkan penggunaan kain ke negara luar.

"Fesyen antara elemen yang boleh dilakukan. Oleh itu, kami selesa bekerjasama dan tidak mustahil akan terus menghasilkan rekaan lain untuk tahun depan," katanya.

INFO: Koleksi Rico Rinaldi

    Koleksi RTW boleh didapati menerusi Zalora Malaysia, Hong Kong dan Brunei

    Harga antara RM299 - RM4,000

      Beliau yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam industri fesyen ini pernah merangkul beberapa anugerah seperti pemenang pertandingan Fesyen Aksesori Batik Malaysia, Anugerah Pereka Terbaik oleh Universiti Limkokwing, Piala Seri Endon,

Berita Harian X