Isnin, 21 November 2016 | 5:09pm

PAS jadi pemimpin jika bekerjasama - Mursyidul Am

MURSYIDUL Am PAS, Hashim Jasin. - Foto Hafizudin Mohd Safar
MURSYIDUL Am PAS, Hashim Jasin. - Foto Hafizudin Mohd Safar

KUALA LUMPUR: PAS sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana kumpulan Islam untuk bersatu di bawah blok persefahaman politik pembangkang baharu, Gagasan Sejahtera (Gagasan) berdasarkan prinsip Islam.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata mana-mana pihak yang mempunyai kecenderungan untuk bersama-sama dengan PAS, mesti menerima parti itu sebagai pemimpin.

Beliau berkata, PAS sudah bersama dengan Barisan Nasional (BN) selama lima tahun bermula 1973, Harakah Keadilan Rakyat (1986), Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996), Barisan Alternatif (BA) (1998-2008), serta Pakatan Rakyat (PR) (2008-2015).

Malah, katanya, kini PAS memimpin Gagasan yang ditubuhkan Ogos lalu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) untuk menyatukan kekuatan pembangkang mengikut prinsip tahaluf yang digariskan Islam.

"PAS juga boleh menerima mana-mana kumpulan bukan Islam yang bersedia untuk menerima kepemimpinan Islam, mengakui perjuangan Islam dan sanggup untuk bersama-sama mempertahankan Islam. Tidak ada ruang kerjasama bagi kumpulan yang menentang dan mengkhianati Islam.

"Dalam konteks ini, setiap ahli PAS mesti sedar bahawa tahaluf berdiri di atas beberapa syarat, antaranya membawa faedah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip; mengakui kepemimpinan Islam dan tidak menjejaskan prinsip perjuangan; tidak berwalak kepada sekutu pakatan serta tidak reda dengan pegangan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hashim berkata, prinsip asas yang perlu menjadi panduan setiap kali cadangan untuk melakukan kerjasama politik ialah Islam hendaklah menjadi pemimpin, bukannya dipimpin.

"Kerjasama juga perlu dibuat atas dasar Islam kerana dasar lain yang bercanggah dengan Islam tidak boleh diterima dalam kerjasama politik.

"Kita mungkin boleh bertolak ansur untuk menerima 'persepakatan' dalam kepentingan bersama yang selari dengan Islam seperti menentang kezaliman, mencegah rasuah dan seumpamanya. Tetapi kita tidak akan bertolak ansur untuk menggadai dasar Islam," katanya.

Selain itu, katanya, semua kerjasama yang dirangka mesti membawa keuntungan kepada Islam, bukannya perkara yang merugikan, mencabar kemuliaan atau menentang agama .

"Sebagai sebuah gerakan Islam, apabila kita mahu menjadikan tahaluf sebagai satu strategi politik, kita mesti memastikan ia berjalan mengikut landasan syariat. Tidak boleh kita berhujah semata-mata atas dasar diluluskan oleh muktamar.

"Ini kerana Muktamar PAS sendiri terikat dengan sumber hukum PAS iaitu al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan al-Qias. Segala keputusan Muktamar PAS yang bercanggah dengan sumber hukum atau pelaksanaannya yang bercanggah sumber hukum, ia adalah terbatal dengan sendirinya," katanya.

Berita Harian X