Isnin, 21 November 2016 | 12:05am

Budak pejabat kini tauke baja

Kegigihan seorang budak pejabat dengan gaji RM190 sebulan untuk mengubah kehidupan diri dan keluarganya, membuahkan hasil apabila kini menjadi pembekal baja organik jenama sendiri ke seluruh Malaysia.

Pemilik Roslan Century 2020 Sdn Bhd, Roslan Omar, 57, berkata, pengalaman hidupnya yang bermula dari bawah banyak mengajarnya erti kecekalan sebelum berjaya membuka syarikat sendiri. 

Beliau tidak malu mengaku bermula sebagai budak pejabat di Sekolah Kebangsaan Seri Pasir, Sri Medan, sejak berusia 19 tahun sebelum berjinak-jinak menjual aksesori di pasar malam bagi menambah pendapatan. 

Roslan Omar bergambar bersama pekerjanya. - Foto Syarafiq Abd Samad

Sebelum bekerja sebagai budak pejabat, beliau pernah membuka gerai menjual surat khabar dan majalah di kawasan Sri Medan sebelum ditawarkan kerja tetap di sekolah berkenaan.  

"Selepas berkahwin dan ahli keluarga mulai bertambah, saya belajar berniaga di pasar malam bagi menambah pendapatan sebelum menyertai bidang jualan langsung (MLM). 

"Ketika berkecimpung dalam bidang MLM saya banyak belajar selok-belok serta asas perniagaan secara lebih terperinci, di samping berpeluang menjadi penceramah MLM di beberapa negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina dan Taiwan," katanya. 

Ketika aktif di bidang MLM, Roslan banyak bertemu serta menjalinkan hubungan rapat dengan golongan yang mempunyai minat sama dengannya iaitu berniaga dan membuka perniagaan sendiri. 

Daripada situ semangat beliau mula membara sebelum seorang rakan dari Taiwan menawarkan peluang untuknya menjadi pembekal tunggal baja organik keluaran negara berkenaan ke pasaran Malaysia. 

ROSLAN menunjukkan produk baja organik yang dikeluarkan oleh syarikatnya. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Saya tidak terus terima pelawaannya kerana takut ditipu, tetapi secara senyap-senyap mula mengkaji produk baja berkenaan yang dihasilkan di Taiwan serta latar belakang syarikat terbabit.

"Saya juga mencuba dahulu baja berkenaan di kebun sawit serta buah-buahan sebelum akhirnya bersetuju menjadi pengedar serta pembekal tunggal baja berkenaan di Malaysia. Ia selepas setahun berpuas hati dengan kualiti produk dan kesungguhan syarikat berkenaan," katanya. 

Bermula dengan modal sendiri sebanyak RM2,000 dan selepas enam tahun memasarkan produknya tanpa jemu, kini jenama baja Roslan Century 2020 semakin mendapat kepercayaan usahawan tani serta petani di seluruh negara.

Kilang pembungkusan baja Roslan beroperasi di Kampung Linau, Bukit Pasir memasarkan empat produk baja utama iaitu Bio Micro Power (baja serbuk), Humic Acid (baja Tanah), Bio Micro Power (Baja biji Tanah-Buah 40) dan Bio Micro Power (baja biji-Tanah-Buah 46). 

PEKERJA Roslan Century 2020 Sdn Bhd melakukan proses pembungkusan baja organik. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Alhamdulillah, sehingga kini baja jenama saya sudah menjengah ke seluruh Semenanjung dengan setiap negeri mempunyai ejen serta pelanggan tetap. Bulan depan, baja keluaran syarikat saya akan mula menjengah pasaran di Sabah dan Sarawak pula berikutan permintaan dari sana," katanya. 

Ditanya perbezaan bajanya dengan produk lain di pasaran, Roslan berkata produk syarikatnya lebih serba guna berikutan sesuai digunakan untuk semua jenis tanaman termasuk kelapa sawit, getah, padi, buah-buahan, tanaman kontan, sayuran serta pokok bunga. 

Katanya, produk baja itu juga adalah 100 peratus daripada bahan organik, dijual pada harga kompetitif berbanding produk lain, selain menjimatkan kos berikutan penggunaannya yang tidak sebanyak serta sekerap baja lain. 

"Melihat kepada permasalahan kos baja yang tinggi menjadi bebanan kepada usahawan tani serta petani tempatan, menyebabkan produk saya ini menawarkan alternatif untuk mengurangkan kos namun mampu meningkatkan hasil pertanian mereka," katanya. 

PEMILIK Roslan Century 2020 Sdn Bhd, Roslan Omar. - Foto Syarafiq Abd Samad

Roslan kini merancang memperluaskan lagi pasaran produknya, selain mahu menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat menjadi ejen produknya di seluruh negara.  Beliau berhasrat untuk mempunyai ejen jualan di seluruh negara menjelang akhir 2017 bagi melancarkan jualan serta penghantaran produk bajanya ke seluruh negara. 

"Kilang pembungkusan baja saya di Kampung Linau, Bukit Pasir, dekat sini, mampu mengeluarkan hampir 1,000 beg baja sehari dan akan meningkatkan pengeluaran seiring dengan permintaan pelanggan. 

"Saya mensasarkan untuk memasarkan kira-kira 1 juta kilogram (kg) baja serbuk keluaran syarikat yang menjadi produk utama berikutan permintaan yang tinggi daripada pelanggan," katanya.

INFO 

Roslan Century 2020 Sdn Bhd

*Pos 112, Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir Batu Pahat

*Laman web syarikat: roslancentury2020.com.my

*Untuk maklumat lanjut produk atau menjadi ejen hubungi Roslan (013-7236480), Nur Ain (013-9396480) dan Nur Farhan (019-7017934)Keistimewaan produk

*100% penggunaan bahan organik*tidak mengandungi bahan kimia

*Harga lebih kompetitif dan murah*Sesuai untuk semua jenis tanaman (berbunga, berbuah, berdaun)

*Mampu mengurangkan kadar masam dan asid tanah

*Mempercepat proses larut resap

*Mampu memperbaiki pengudaraan dan resapan air untuk perkembangan akar yang sihat

Berita Harian X