Sabtu, 19 November 2016 | 6:56pm

Turki beri `pengampunan' kepada perogol?

ANKARA: Satu rang undang-undang yang membenarkan lelaki yang dituduh merogol gadis bawah umur dibebaskan jika mengahwini gadis itu, mendapat sokongan awal Ahli Parlimen Turki.

Pengampunan itu hanya diberikan kepada lelaki yang mengadakan hubungan seks tanpa kekerasan atau ancaman dan jika mereka mengahwini mangsa.

Pengkritik bagaimanapun berkata, langkah itu seolah-olah membenarkan perbuatan rogol dan perkahwinan kanak-kanak serta membebaskan lelaki yang menyedari jenayah mereka.

Keganasan terhadap wanita di Turki meningkat sejak beberapa dekad lalu dengan 40 peratus wanita melaporkan penderaan seksual atau fizikal.

Statistik juga menunjukkan kadar pembunuhan wanita meningkat sebanyak 1,400 peratus di antara 2003 hingga 2010.

Peringkat awal rang undang-undang itu diluluskan petang Khamis lalu selepas dibawa ke Parlimen oleh pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Pada Selasa, Ahli Parlimen akan membahaskan rang undang-undang itu untuk kali kedua sebelum undian akhir dibuat.

Ia turut mengundang protes jalanan di sekitar Istanbul. Ramai yang mengatakan ia akan menggalakkan lelaki untuk merogol.

Bagaimanapun kerajaan berkata, ia bukan bertujuan menolak jenayah rogol, sebaliknya untuk memulihkan orang yang mungkin tidak sedar bahawa hubungan seksual mereka menyalahi undang-undang atau untuk mengelakkan kanak-kanak perempuan yang melakukan hubungan seks di bawah umur 18 tahun daripada dipulaukan oleh masyarakat. - AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X