Sabtu, 19 November 2016 | 6:00am

Peluang Wenger lebur badi Mourinho


ARSENE Wenger dan Jose Mourinho.

SELEPAS dua minggu berehat bagi memberi laluan saingan kelayakan Piala Dunia dan persahabatan antarabangsa, Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali lagi meneruskan aksi bagi minggu ke-12.

Minggu ini tumpuan perlawanan adalah membabitkan pertembungan dua gergasi liga - Manchester United dan Arsenal di Old Trafford. Aksi yang dijangka sengit ini bakal berlangsung jam 8.30 malam ini.

Sebelum kita melihat statistik pertembungan dua kelab ini, kita imbas sedikit aksi minggu ke-11 yang menyaksikan Liverpool berjaya menduduki takhta pendahulu liga daripada Chelsea.

Anak didik Jurgen Klopp mengambil alih tempat pendahulu liga daripada pasukan bimbingan Antonio Conte itu hasil kejayaan membelasah Watford 6-1 di laman sendiri pada 6 November untuk menghimpun 26 mata.

Terdahulu skuad The Blues berjaya memintas Manchester City untuk mendahului carta EPL hampir 12 jam sebelum itu, hasil kejayaan membelasah Everton 5-0 di Stamford Bridge.

Skuad The Citizens bimbingan Pep Guardiola gagal mempertahankan kedudukan pendahulu liga selepas diikat 1-1 oleh Middlesbrough di laman sendiri di Stadium Etihad beberapa jam sebelum aksi Chelsea-Everton.

Sebelum aksi minggu ke-11, Liverpool, City dan Arsenal berkongsi sama mata itu 23 dengan City di tangga teratas, manakala pasukan bimbingan Arsene Wenger di tempat kedua dan diikuti The Reds.

Kembali kepada aksi United-Arsenal di Old Trafford malam ini. Berdasarkan rekod 48 pertemuan lalu, anak buah Jose Mourinho jelas mendominasi saingan apabila menang sebanyak 22 kali, manakala The Gunners pula 12 kali. Kedua-duanya terikat 14 kali.

Pada pertemuan terakhir di Old Trafford, 28 Februari lalu, Red Devils yang dibimbing Luis van Gaal ketika itu menang 3-2 manakala pada 17 Mei 2015 di gelanggang sama, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Melihat kepada prestasi lalu dan semasa, kita dapat jangkakan pertembungan dua gergasi ini bakal sengit. Apalagi, Mourinho dan Arsene Wenger memang tidak boleh bertentang mata sejak dulu lagi.

Pun begitu rekod lalu menunjukkan pengendali dari Perancis itu tidak pernah menewaskan Mourinho dalam 13 perlawanan kompetitif sejak kali pertama mereka bertemu pada 2004. Adakah badi itu mampu dilebur malam ini?

Malam ini, Wenger dilihat memiliki peluang terbaik menamatkan 'penderitaan' panjang itu berikutan United akan tampil di depan penyokong sendiri tanpa enam tonggak akibat penggantungan dan kecederaan.

Penyerang sensasi, Zlatan Ibrahimovic digantung perlawanan, manakala pertahanan, Erica Bailu, Chris Smalling, Antonio Valencia, Marouane Fellaini dan Luke Shaw akibat kecederaan. Sebaliknya, bintang Gunners, Alexis Sanchez sudah pulih sepenuhnya.

Liverpool pula akan bertandang ke kelab Southampton dengan aksi mereka bakal berlangsung pada jam 11 malam, hari sama. Kita jangkakan aksi sengit juga akan berlaku dan anak buah Klopp harus jadi pilihan untuk menang.

Chelsea yang menduduki tangga kedua liga pula pula berkunjung ke Middlesbrough pada lewat tengah malam Isnin. Kita jangkakan barisan Antonio Conte ini tidak punya masalah mencatat satu lagi kemenangan sekali gus kekal menggugat The Reds di puncak liga.

Ramalan Minggu ke-12

Man United 2 - Arsenal 1

Sunderland 1 - Hull City 3

Watford 1 - Leicester City 3

Crystal Palace 1 - Man City 4

Everton 3 - Swansea City 2

Stoke City 2 - Bournemouth 0

Southampton 1 - Liverpool 2

Tottenham Hotspur 3 - West Ham 1

Middlesbrough 0 - Chelsea 4

West Brom 1 - Burnley FC 1

Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X