Jumaat, 18 November 2016 | 11:51pm

Peggy angkasawan wanita tertua sertai misi ke ISS


ANGKASAWAN wanita paling tua, Peggy Whitson. - Foto AP

KAZAKHSTAN: Angkasawan wanita paling tua, Peggy Whitson, selamat berlepas ke angkasa untuk misi ketiganya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan berharap dapat memecahkan beberapa lagi rekod sepanjang berada di sana.

Angkasawan veteran NASA itu adalah wanita pertama pernah memerintah ISS dan adalah pemegang rekod wanita paling lama menghabiskan masa di ruang angkasa.

Beliau yang akan menyambut hari jadi ke-57, Februari depan, akan menjadi wanita paling tua menjalani misi di angkasa.

Peggy harus berada di angkasa lebih daripada 534 hari, iaitu rekod dicatat oleh angkasawan, Jeffrey Williams yang berusia 58 tahun.

Peggy berlepas dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan, semalam menaiki roket Soyuz MS-03 bersama angkasawan Russia, Oleg Novitsky, 45 dan angkasawan baru dari Perancis, Thomas Pesquet, 38.

Mereka dijangka tiba di ISS dalam tempoh dua hari untuk menyertai seorang angkasawan Amerika dan dua Russia yang sudah pun berada di sana.

Pasukan ini akan menjalankan pelbagai penyiasatan saintifik sehingga Mei 2017.

Ketiga-tiga kru itu berlepas dari kawasan pelancar pada jam 2.20 pagi waktu tempatan dan terus sampai di orbit lapan minit kemudian.

Mereka akan berada dalam kapal angkasa itu selama dua hari sebelum mendarat di ISS. - AGENSI

Berita Harian X