Jumaat, 18 November 2016 | 9:26pm

Empat maut dalam nahas dua kenderaan

KEMALANGAN maut membabitkan Perodua Alza yang bertembung dengan Proton Saga BLM di KM77 Kota Tinggi-Mersing berhampiran FELCRA Sungai Ara, Kota Tinggi. - Foto NSTP

KOTA TINGGI: Empat maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 77, Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran FELCRA Sungai Ara, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, pemandu PERODUA Alza, Md Shafi'i Kassim, 56 dan dua lagi penumpang kenderaan terbabit, Asnah Kassim, 54 serta Siti Nurullfarhah Md Shafi'i, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Turut maut dalam kejadian itu ialah penumpang PROTON Saga BLM, Nora Atika Sazumi, 13, manakala difahamkan tiga lagi ahli keluarga mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi, dekat sini untuk rawatan selanjutnya.

Difahamkan, PERODUA Alza yang dipandu Md Shafi'i dikatakan dalam perjalanan dari Kota Tinggi, menuju ke FELDA Tenggaroh Timur 2, Mersing, dekat sini, manakala, PROTON Saga BLM dari Kuala Terengganu menuju ke Bandar Penawar, Desaru, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya masih menunggu butiran lanjut mengenai punca kemalangan berkenaan.

Berita Harian X