Jumaat, 18 November 2016 | 6:23pm

Obama beri gambaran lebih jelas mengenai TPPA

BARACK Obama. - Foto AP

LIMA: Pertemuan pemimpin negara Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan Presiden Barack Obama di luar persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru, esok diharap dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai masa depan pakatan perdagangan itu.

Sebelum itu, 12 menteri perdagangan TPPA semalam mengadakan pertemuan khusus sempena APEC untuk mendengar pandangan mengenai kerisauan negara anggota.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad, berkata pertemuan dengan Obama diharap mendapat sedikit gambaran mengenai dasar perdagangan luar Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran bakal Presiden baharu, Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dijadual tiba di Lima pagi ini, turut menyertai pertemuan dengan Obama.

Mustapa berkata, antara yang dijangka dinyatakan Obama adalah mengenai TPPA di AS dan kemungkinan 'memujuk' pentadbiran baharu negara itu serta Kongres mengenai kebaikan pakatan perdagangan itu.

Mustapa yang tiba di Lima semalam, berkata Malaysia walaupun dalam proses ratifikasi atau pindaan undang-undang untuk menjayakan TPPA, berpendirian ia perlu diteruskan kerana memberi banyak manfaat kepada negara.

"Kita masih berminat tetapi terlalu awal untuk buat keputusan kerana Trump mengangkat sumpah pada 20 Januari 2017. Umumnya, kebanyakan negara mahu meneruskan TPPA, tetapi mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Kita perlu lihat perkembangan supaya lebih jelas hala tuju dasar Trump. Tidak adil membuat keputusan terburu-buru selepas berusaha keras secara intensif menjayakan TPPA sejak lima tahun lalu.

"Perjanjian ini baik kepada Malaysia, termasuk untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana)," katanya kepada wakil media Malaysia, hari ini.

Isu itu tercetus selepas Trump dilaporkan menentang perjanjian terbabit ketika kempen pilihan raya presiden yang dimenanginya dengan menewaskan Hillary Clinton, baru-baru ini.

Mustapa berkata, ada tiga kategori pendirian TPPA berikutan perkembangan terbaharu selepas pemilihan Presiden AS.

Ia membabitkan kategori komited seperti Jepun dan New Zealand, yang meluluskannya menerusi perundingan dan Vietnam, yang membuat ketetapan mengkaji semula TPPA.

Kategori ketiga ialah seperti Malaysia yang membuat penilaian berdasarkan tunggu dan lihat.

INFO

21 anggota APEC

Australia; Brunei; Kanada; Chile; China; HongKong; Indonesia; Jepun; Malaysia; Mexico; New Zealand; Papua New Guinea; Peru;

Filipina; Russia; Singapura; 

Republik Korea; Taipei; Thailand; Amerika Syarikat dan Vietnam

12 anggota TPPA

Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Jepun

Berita Harian X