X
Rabu, 16 November 2016 | 11:47pm

Lelaki hampir putus kaki ditinggalkan di tepi jalan

MANGSA dibiarkan terbaring di tepi jalan sebelum dikejarkan ke Hospital Lawas.
MANGSA dibiarkan terbaring di tepi jalan sebelum dikejarkan ke Hospital Lawas.

LAWAS: Lelaki berusia 69 tahun, yang hampir putus kaki kanan ditinggalkan menanggung azab kesakitan di tepi jalan oleh pemandu kenderaan pacuan yang terbabit dalam kemalangan dengannya di Kilometer 10  Jalan Lawas-Terusan, petang tadi.

Mangsa, Ali Pungut, yang membonceng motosikal ketika terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda itu terlantar di tepi jalan sebelum dikejarkan ke Hospital Lawas oleh orang awam yang melintasi tempat kejadian.

Jurucakap polis Lawas yang mengesahkan kes itu bagaimanapun berkata, polis telah menjumpai kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu, yang ditinggalkan pemandunya di Bukit Suling, Terusan.

"Kenderaan itu ditinggalkan di tepi kawasan hutan di jalan berkenaan, Namun, pemandunya masih gagal dikesan," katanya, di sini, sebentar tadi.

Mangsa yang turut patah kaki kanan masih menerima rawatan di Hospital Lawas.

Kedua-dua kenderaan dipercayai datang dari arah sama iaitu dari Lawas ke Trusan sebelum pembonceng motosikal dilanggar oleh kenderaan suspek dari arah belakang.

Berita Harian X