Selasa, 2 Disember 2014 | 8:07am

Seorang maut, dua parah bas ekspres rempuh lori

LEDANG: Seorang maut manakala dua lagi cedera parah selepas bas ekspres yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 155 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Bukit Gambir, awal pagi tadi.   

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu turut menyebabkan lima daripada penumpang mengalami kecederaan ringan.    Mayat mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti itu kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.    Sementara itu penumpang bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur yang cedera dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.   

Difahamkan pemandu bas ekspres terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu lori mengalami kecederaan pada bahagian badan akibat tersepit.  

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang kelindan lori ayam maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori lain, kira-kira 200 meter daripada lokasi kejadian pertama.    

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, pemandu lori terbabit yang dalam perjalanan dari Yong Peng ke Seremban itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh sebuah lori dihadapan.     

Rempuhan itu menyebabkan pemandu lori terbabit mengalami kecederaan, manakala kelindannya yang masih belum dapat dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.    

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat, manakala pemandu lori yang cedera dihantar ke HPSF untuk rawatan lanjut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X