Isnin, 7 November 2016 | 12:05pm

150 doktor pakar kerajaan letak jawatan setiap tahun


FOTO hiasan.

KUALA LUMPUR: Seramai 150 doktor pakar yang berkhidmat di hospital kerajaan meletakkan jawatan setiap tahun dan berhijrah ke pusat perubatan swasta, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Katanya, jumlah itu adalah unjuran secara purata sejak enam tahun lalu, dengan majoriti yang meletakkan jawatan adalah yang kekal pada gred U23 dan U24 dalam tempoh lima hingga 10 tahun ke atas.

"Setakat September tahun ini, seramai 128 doktor pakar sudah meletakkan jawatan, manakala jumlah pada tahun lalu adalah seramai 124 orang.

"Punca masalah ini berlaku adalah penjawatan iaitu kenaikan pangkat dengan kebanyakan yang meletakkan jawatan adalah yang berada pada gred U53 dan U54.

"Ada di antara mereka yang tidak naik pangkat ke peringkat Jusa dalam tempoh lima atau lebih 10 tahun, maka mereka letak jawatan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang bertanya langkah kementerian untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan ruang penjawatan dan supaya jumlah doktor pakar di hospital kerajaan menepati sasaran kementerian.

Berita Harian X