Ahad, 6 November 2016 | 3:59pm

Saharul Ridzwan, isteri belum sempat berbulan madu

SAHARUL Ridzwan dan isterinya, Qaabila. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Komitmen di lokasi menyebabkan pelakon, Saharul Ridzwan dan isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir rupa-rupanya belum sempat berbulan madu biarpun sudah hampir dua bulan bernikah.

Mengikut perancangan, Saharul mahu membawa Qaabila menunaikan umrah, akhir tahun ini.

Namun, cadangan itu belum dapat direalisasikan berikutan masih menunggu pengumuman Kerajaan Arab Saudi berhubung kebenaran umrah berikutan musim haji baru berakhir.

"Jika diizinkan saya mahu menunaikan umrah dengan isteri tahun ini. Kalau tidak, mungkin tahun depan.

"Saya harap urusan itu akan dipermudahkan secepat mungkin," katanya kepada BH Online.

Namun, Saharul membawa Qaabila bercuti di Singapura, Batam dan Bangkok, baru-baru ini. Bagaimanapun, ia bukan percutian peribadi sebaliknya bersama rombongan dan pihak penaja.

"Baru-baru, syarikat produksi Global Station membenarkan saya membawa isteri menaiki kapal mewah menuju ke Phuket dan Krabi ketika menjalani penggambaran drama Arluna bersama Anzalna dan pelakon lain," katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Saharul berkata, dia bakal muncul dalam telefilem berjudul Trauma arahan Jinggo yang diterbitkan JS Pictures.

Telefilem itu dijangka disiarkan sempena Anugerah Festival Kuala Lumpur tahun hadapan. Traume turut dibintangi Janna Nick, Zara Zya, Idris Khan, Raja Afiq dan Dayana Roza.

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim dan Qaabila bernikah pada 16 September lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Berita Harian X