Ahad, 6 November 2016 | 8:56am

Real Sociedad kejutkan Atletico 2-0


PEMAIN Atletico Madrid, Kevin Gameiro (kanan) diasak pemain Real Sociedad, Mikel Gonzalez pada aksi La Ligadi Stadium Anoeta, San Sebastian, awal pagi tadi. - Foto AFP

MADRID: Peluang Atletico Madrid mencabar gelaran La Liga sekali lagi menerima tamparan hebat tatkala dua penyudah penalti Real Sociedad mengakibatkan kekalahan 2-0 kepada skuad kendalian Diego Simeone, awal pagi tadi.

Carlos Vela membuka jaringan sembilan minit memasuki babak kedua sebelum melepaskan tanggungjawab itu kepada Willian Jose untuk memastikan kemenangan ketiga berturut-turut ketika permainan berbaki 15 minit.

Kekalahan kedua dalam tiga perlawanan terakhir bermakna Atletico kekal tiga mata di belakang peneraju Real Madrid, tetapi musuh tetangga itu berpeluang menjarakkan diri kepada enam mata apabila menjadi tuan rumah kepada Leganes, malam ini.

Atletico akan menerima kunjungan Real selepas rehat antarabangsa pada 19 November sekali gus dianggap sebagai ulangan kepada pertemuan final Liga Juara-Juara musim lalu.

"Tiada alasan. Mereka bermain dengan lebih baik dan itu saja," kata pertahanan Atletico, Juanfran, yang melepaskan sepakan penalti pada aksi Liga Juara-Juara, Mei lalu.

"Kami mempunyai banyak lagi masa untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi perlawanan penting, kami perlu segera bangkit dan saya yakin kami boleh menang di laman sendiri."

Anak-anak buah Simeone sudah menjamin tiket kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, Selasa lalu menerusi kemenangan waktu kecederaan ke atas FC Rostov, tetapi tanda-tanda kepenatan mula kelihatan pada mereka apabila beraksi hambar malam tadi.

"Kami tidak mahu mencari alasan," tambah Simeone. "Lawan kami membuat persiapan baik dan bermain dengan lebih baik di separuh masa kedua." - AFP

Berita Harian X