Sabtu, 5 November 2016 | 2:44pm

Usaha Genting maju kemudahan ski taraf dunia dipuji

Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA

BEIJING: Pelaburan Genting Resort Secret Garden Malaysia dalam memajukan resort kesihatan dan santai ekopelancongan lima bintang serta projek menaik taraf kemudahan ski kepada bertaraf dunia untuk Sukan Olimpik Musim sejuk 2022, dipuji.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau bangga Genting Resort Secret Garden diberikan tanggungjawab membangunkan 10,000 bilik untuk Olimpik Musim Sejuk 2022, selain taman salji yang akan menjadi venue acara gaya bebas.

Penglibatan syarikat Malaysia dalam Olimpik akan menaikkan nama negara di persada antarabangsa, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri taklimat mengenai projek pelaburan syarikat itu di Zhangjiakou, di sini semalam.

Taklimat mengenai perkembangan terkini projek itu disampaikan oleh pengasas dan pengerusi syarikat Datuk Lim Chee Wah serta perancang induk dan arkitek projek, Lim Keong Wee.

Turut hadir Gabenor Wilayah Hebei, Zhang Qingwei.

Zhangjiakou yang terletak di utara Heberi, tiga kilomter dari sini, sebahagian besarnya merupakan kawasan bergunung-ganang, dengan cuaca sejuk yang panjang.

Najib berkata beliau telah memaklumkan kepada Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang mengenai sokongan Kerajaan Malaysia ke atas pelaburan Genting Resort Secret Garden di Zhangjiakou bagi memastikan syarikat itu dapat meneruskan projek tersebut dengan lancar.

Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan bahawa kereta api laju (HSR) akan dibangunkan antara Beijing dan Zhangjiakou bagi memudahkan perhubungan.

Genting Resort Secret Garden, yang mengurus resort pergunungan utama China sepanjang musim, dalam satu kenyataan berkata pelaburan syarikat itu melebihi 18 juta RMB yang meliputi kelusan 100 kilometer persegi.

Apabila siap sepenuhnya, resort itu akan mempunyai 88 cerun meliputi kawasan lebih 70km panjang, dengan 22 lif berkualiti tinggi buatan Eropah sepanjang 30km.

"Apabila siap, ia akan menjadi resort kesihatan dan santai ekopelancongan lima bintang, dengan kapsiti tahunan seramai 1.8 juta pelawat," katanya.

Genting Resort Secret Garden berkata ekoran kejayaan Beijing membida Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, Genting Snow Park dipilih sebagai venue ski gaya bebas dan acara luncur salji.

Sejumlah 50 pingat emas daripada 96 pingat emas sukan itu ditawarkan di Zon Zhangjiakou.

Ia berkata resort itu dipilih sebagai venue rasmi Kejohanan Ski Gaya Bebas dan Kejohanan Dunia Luncur Salji 2021 FIS. - BERNAMA

Berita Harian X