Jumaat, 4 November 2016 | 4:28pm

Hafidz, Janna tak beri masalah - Sheila Rusly

SHEILA Rusly bersama Janna Nick dan Hafidz Roshdi, dua pelakon yang sering membintangi produksinya, JS Pictures.

KUALA LUMPUR: Ketika ini dua bintang muda, Hafidz Roshdi dan Janna Nick, dilihat antara pelakon yang sering dilamar JS Pictures untuk menjayakan produk terbitan mereka.

Pada masa sama, kedua-duanya juga tidak sunyi daripada kontroversi yang sedikit-sebanyak pastinya turut merisaukan syarikat produksi.

Begitupun, orang kuat syarikat penerbitan berkenaan, Sheila Rusly, menegaskan dua pelakon sedang mencipta nama itu mudah memberikan kerjasama kepada produksi miliknya.

Bahkan, Janna umpamanya boleh dikatakan antara pelakon 'kesayangan' penerbit wanita berkenaan.

"Saya tidak tahulah pula mengenai cerita negatif membabitkan mereka bersama orang lain. Saya juga bukan hendak mempertahankan mereka kerana kedua-duanya pernah berlakon dengan saya ataupun dilabel 'anak emas' kami.

"Namun, Hafidz contohnya memang pemuda yang baik dan tidak pandai marah-marah. Malah, dia juga menghormati orang lain.

"Kali pertama bekerja dengan produksi kami, dia memang agak 'gabra.' Begitupun sedikit demi sedikit dia faham dengan sistem kerja kami. Saya tidak lihat dirinya mendatangkan masalah, malah dia juga mempamerkan prestasi yang bagus. Drama lakonannya siaran TV3, Mr Donat Karamel, umpamanya sangat berbeza dengan apa yang pernah dilakonkan olehnya.

"Malah, Hafidz masih terus bersabar selagi apa yang saya minta belum dapat dipenuhi olehnya. Sebagai penerbit, saya mahukan yang terbaik dan Hafidz sendiri sentiasa sedar hal berkenaan. Lakonannya dalam telefilem Jalan Balik Surau juga mengejutkan saya. Dia menyerlahkan gaya lakonan orang tak betul dengan cara berbeza," kata Sheila.

Wanita itu turut menyifatkan Hafidz seorang yang sangat menghormati masa ketika berlakon dengan JS Pictures.

"Sumpah, memang Hafidz datang ke lokasi penggambaran tepat pada masanya. Tidak pastilah pula apakah dia hanya bersikap begitu kerana saya sendiri memang seorang yang mementingkan ketepatan masa, atau berbuat demikian bersama produksi ini saja? Begitupun, saya selalu menasihatkan semua pelakon yang pernah bekerjasama dengan produksi kami supaya terus menjaga disiplin dan memanjangkan ilmu lakonan yang diperturunkan kepada mereka.

"Saya tidak mahu mereka hanya menjaga disiplin dan kualiti lakonan selama tempoh terbabit dengan produksi kami semata-mata. Mereka perlu bersikap demikian dengan produksi lain juga. Saya juga sering mengingatkan mereka supaya ikhlas dan jujur ketika berlakon.

"Apa pun, sejujurnya, Hafidz dan Janna memang tidak pernah memberikan masalah kepada kami," katanya ketika ditemui di lokasi telefilem Trauma yang diterbitkan sempena minggu Drama Festival Kuala Lumpur tahun hadapan.

Sheila juga berkata, dalam hal berkaitan kontroversi, seharusnya penjelasan didengar daripada kedua-dua belah pihak. Malah, beliau sendiri sentiasa mendapat tahu jika ada sesuatu yang kurang menyenangkan berlaku kepada pelakon yang pernah bekerjasama dengannya.

"Apa saja cerita buruk, saya akan dapat tahu juga. Memang akan sampai ke telinga saya. Kalau tidak berjumpa pun, saya akan menghubungi mereka bagi bertanyakan hal sebenar dan memberikan nasihat.

"Seperti Janna, saya selalu ingatkan dia untuk bertahan. Saya pernah katakan kepadanya, jangan ingat semua pengikut di laman sosial menyukai dirinya.

"Saya sedar Janna masih muda dan agresif, tetapi dia perlu berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya. Dia kena merendah diri," katanya.

Berita Harian X