Khamis, 3 November 2016 | 9:11pm

Remaja jatuh dari tongkang ditemui mati

MAYAT mangsa dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Foto Ihsan Bomba

SIBU: Mayat seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang dari sebuah tongkang dalam perjalanan dari Kanowit ke Sibu semalam, ditemui petang tadi.

Mayat mangsa, Fredikson Likun, 16, ditemui oleh orang awam di kawasan Nanga Bob Jih pada jam 5.25 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, kehilangan mangsa hanya disedari oleh rakannya ketika tongkang yang mereka naiki tiba di Sibu petang semalam.

Beliau berkata, pada jam 3.40 semalam, bomba menerima panggilan dari Balai Polis Lanang memaklumkan kehilangan mangsa.

"Bertindak atas laporan itu, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit dengan bantuan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu dikerah mencari dan menyelamat mangsa.

"Lokasi sebenar mangsa jatuh ke dalam Sungai Rajang itu tidak diketahui tetapi dipercayai antara Kanowit dan Sibu," katanya.

Farhan berkata, selain bomba, beberapa agensi lain turut membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa iaitu empat anggota polis marin dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam serta ahli keluarga mangsa.

"Selepas mayat mangsa ditemui petang tadi, anggota bomba membawanya ke jeti dan menyerahkan kepada polis pada jam 5.55 petang tadi," katanya.

Berita Harian X