Khamis, 3 November 2016 | 12:27pm

MUIP beri sumbangan RM51,400 kepada Hospital Bentong

BENTONG: Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyerahkan sumbangan dan bantuan wang tunai serta alat kelengkapan perubatan bernilai RM51,400 kepada Hospital Bentong, di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata sumbangan menerusi program Ziarah Prihatin itu bagi membantu pesakit dan pengurusan hospital itu menyediakan kemudahan perubatan yang lebih selesa kepada orang ramai.

Beliau berkata, peruntukan sumbangan termasuk RM25,400 bagi peralatan dan kelengkapan perubatan itu diperoleh menerusi kutipan zakat termasuk sebahagiannya melalui potongan gaji daripada kakitangan hospital itu sendiri.

"Sumbangan hasil kutipan zakat ini dapat kita kongsikan kepada pesakit yang memerlukan terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Hospital Bentong, Dr Kamariah Ghazali.

Pada majlis sama, Wan Abdul Wahid turut menyampaikan hamper dan wang tunai kepada 65 pesakit di hospital itu.

Berita Harian X