Rabu, 2 November 2016 | 11:28pm

Dua ditahan kerana miliki kayu balak tanpa lesen

LOKASI pembalakan haram di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, yang diserbu Jabatan Perhutanan Terengganu, tempoh hari. - Foto ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu
LOKASI pembalakan haram di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, yang diserbu Jabatan Perhutanan Terengganu, tempoh hari. - Foto ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki termasuk seorang pemilik kilang papan di Pasir Gajah, Chukai, ditahan selepas dipercayai memiliki lebih 150 batang balak hasil 'rompakan' lanun rimba, pagi semalam.

Lelaki berusia 53 tahun dan pekerja warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an itu ditahan susulan serbuan dibuat Jabatan Perhutanan Terengganu di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, berkata serbuan dilakukan dua pasukannya di kilang terbabit pada kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita empat mesin memproses kayu selain merampas lebih 150 batang kayu balak pelbagai spesis yang dipercayai dimiliki tanpa lesen sah.

"Serbuan di kilang terbabit dilakukan hasil maklumat yang diperoleh pihak risikan selepas menyerbu Hutan Simpan Bukit Bauk tempoh hari.

"Kedua-dua suspek yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara kerana memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang," katanya ketika dihubungi BH.

Ahmad Fadzil berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti spesis kayu balak yang dirampas pihaknya di kilang terbabit sebelum tindakan selanjutnya diambil.

BH juga difahamkan, beberapa buah kilang di sekitar negeri ini kini dalam pemerhatian Jabatan Perhutanan Terengganu kerana dipercayai melakukan kesalahan sama.

Semalam BH melaporkan Hutan Simpan Bukit Bauk 'dirompak' lanun rimba yang menggondolkan lebih 20 hektar kawasan tadahan hujan terbabit selain merampas kira-kira 400 tan kayu balak bernilai RM200,000.

Berita Harian X