X
Selasa, 1 November 2016 | 2:20pm

'Lanun Rimba' gondol Hutan Simpan Bukit Bauk

JABATAN Perhutanan Negeri merampas 400 tan kayu balak berkualiti tinggi selepas menahan dua lelaki di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun.
JABATAN Perhutanan Negeri merampas 400 tan kayu balak berkualiti tinggi selepas menahan dua lelaki di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun.

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perhutanan Negeri merampas 400 tan kayu balak berkualiti tinggi selepas menahan dua lelaki di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, semalam.

Dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang dipercayai pekerja sindiket itu ditahan ketika sedang menjalankan kerja mengalih kayu balak untuk dihantar ke kilang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, berkata pihaknya turut merampas sebuah ekskavator, lori dan pacuan empat roda (4x4) yang dipercayai digunakan ahli kumpulan terbabit.

"Rampasan kayu balak terbabit dianggarkan bernilai lebih RM200,000 membabitkan pelbagai jenis kayu balak berkualiti tinggi terutamanya daripada jenis meranti dan keruing," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya menggunakan khidmat pasukan dron untuk membuat pemetaan bagi mengenal pasti keluasan sebenar hutan simpan berkenaan yang digondol kumpulan terbabit.

Katanya, 'Lanun Rimba' yang dikesan beroperasi di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, hanya mengambil masa dua bulan untuk menggondolkan kira-kira 20 hektar daripada kawasan tadahan hujan terbabit bagi mengaut keuntungan berlipat ganda.

"Kegiatan haram itu dilumpuhkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, yang berjaya menghidu aktiviti mereka selepas mendapat maklumat awam dan risikan sejak minggu lalu," katanya.

Ahmad Fadzil berkata, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket terbabit beroperasi pada waktu tengah malam sehingga awal pagi untuk membawa keluar hasil 'rompakan' sebelum dihantar ke kilang kayu di sekitar daerah berkenaan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan penguatkuasa.

Berita Harian X