Selasa, 1 November 2016 | 12:04am

Program ikan pekasam tambah pendapatan penduduk

PASIR PUTEH: Hampir sekampung golongan wanita di pinggiran sungai di Kampung Tok Ajam, di sini, terbabit dalam perusahaan membuat ikan pekasam secara komersial yang berjaya meningkatkan pendapatan keluarga.

Usaha berkenaan yang dilakukan hampir 80 peratus golongan wanita di kampung berkenaan berjaya memberikan pendapatan tambahan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan kepada peserta.

Dengan bantuan Jabatan Perikanan, ikan pekasam berkenaan berjaya dipasarkan di seluruh Semenanjung.

Secara tradisinya, ikan pekasam dikaitkan dengan pelbagai jenis ikan sungai atau darat daripada pelbagai spesis.

Ikan pekasam dikenali sebagai ikan yang diperam secara tradisional dan biasanya dihasilkan daripada jenis ikan sepat, talapia, lampam, puyu, haruan dan lain-lain.

Kajian menunjukkan ikan pekasam mengandungi protein yang tinggi dan secara tradisionalnya, proses perapan mengambil masa agak lama sekitar empat hingga lapan minggu.


NURAINI Ahmad menunjukkan ikan pekasam yang diusahakannya. - Foto Fathil Asri

NURAINI Ahmad membersihkan ikan sebelum dimasukkan garam dalam bekas yang sesuai. - Foto Fathil Asri

Namun, kajian dan penyelidikan moden kini, menemui kaedah lebih cepat menghasilkan ikan pekasam dengan mengambil masa sekitar satu sehingga dua minggu saja.

Pengusaha ikan pekasam dari Kampung Tok Ajam, di sini, Nuraini Ahmad, 52, berkata beliau memulakan industri ikan pekasam secara kecil-kecilan sejak usia remaja lagi bersama keluarga.

Beliau berkata, perusahaan membuat ikan pekasam mampu menjadi satu perusahaan yang berjaya dan boleh bersaing dengan produk sama dari luar.

Katanya, kampung berkenaan juga dipilih Jabatan Perikanan Kelantan sebagai pusat operasi Sukarelawan Perikanan (SUPER) Kelantan dengan memberi pelbagai bantuan termasuk menjadikan sungai di kampung itu sebagai pusat penternakan pelbagai spesis ikan sungai terbesar di Kelantan.

Nuraini berkata, cara membuat ikan pekasam amat mudah baginya, dengan ikan perlu dibersihkan terlebih dulu sebelum dimasukkan garam dan dimasukkan dalam bekas yang sesuai.

"Selepas diperam dengan masa yang secukupnya, perlu siapkan beras tumbuk yang digoreng dan digaulkan dengan ikan," katanya yang memberitahu antara langkah yang perlu bagi menyiapkan ikan pekasam itu.


NURAINI memasukkan garam ke dalam bekas yang berisi dengan ikan yang telah dibersihkan. - Foto Fathil Asri

IKAN pekasam di Kampung Tok Ajam mendapat permintaan orang ramai dan kini dipasarkan di seluruh Semenanjung. - Foto Fathil Asri

Nuriani berkata Jabatan Perikanan sentiasa memberi tunjuk ajar dan membimbing pengusaha dengan pelbagai kaedah baharu bagi menghasilkan ikan pekasam termasuk membantu pembungkusan dan memasarkannya ke kawasan luar.

"Alhamdulillah, saya berbangga hari ini produk ikan pekasam Kampung Tok Ajam sudah menembusi pasaran luar negeri yang dijual dengan pelbagai harga serendah RM5 sepaket," katanya kepada BH.

Nuraini yang mendapat bimbingan khusus Jabatan Perikanan bersama seramai 35 ahli SUPER berharap dapat menghasilkan produk ikan pekasam yang lebih bermutu dan lebih banyak lagi pengeluaran pada masa depan.

"Kami juga berbangga apabila dipilih sebagai ahli SUPER yang sentiasa diberi perhatian pihak Jabatan Perikanan termasuk membina sebuah pusat operasi memudahkan ahli mengadakan pertemuan dan pelbagai aktiviti termasuk bengkel, kursus dan sebagainya," katanya.

IKAN yang diperam digaulkan dengan beras tumbuk yang digoreng. - Foto Fathil Asri
IKAN pekasam biasanya dihasilkan daripada jenis ikan sepat, talapia, lampam, puyu, haruan dan lain-lain. - Foto Fathil Asri
Berita Harian X