Isnin, 31 Oktober 2016 | 2:27pm

Abam terkilan tak dapat sokong Selangor

PELAWAK Abam Bocey terkilan tidak dapat turun padang menyokong pasukan Selangor melawan Kedah pada peringkat akhir Piala Malaysia. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Pelawak Abam Bocey terkilan tidak dapat turun padang menyokong pasukan Selangor melawan Kedah pada peringkat akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor, semalam.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 27, berkata pada tahun lalu beliau berpeluang menyaksikan perlawanan akhir di stadium, namun kali ini akur dengan tuntutan kerja menjayakan latihan teater Mak Cun D'Walei.

"Terkilan rasanya tidak dapat bersama-sama ke stadium memberi sokongan kepada pasukan Selangor, semalam. Tahun lalu saya turun padang sebagai tanda sokongan, namun kali ini tiada rezeki untuk saya meneruskan tradisi itu.

"Saya ada meminta pelepasan kepada pihak produksi teater Mak Cun D'Walei, namun mereka tidak dapat berbuat demikian berikutan tarikh persembahan semakin hampir.

"Biarpun Selangor tewas di tangan Kedah malam tadi, namun saya tetap berbangga dengan semangat pasukan pilihan saya ini. Kekalahan mereka bermaruah dan kemenangan itu juga diraih menerusi mata penalti. Tahniah saya ucapkan kepada pasukan Kedah dan takziah kepada Selangor," kata pelawak dari Gombak ini kepada BH Online.

Selain Abam, teater lakonan dan arahan Erma Fatima itu turut membariskan Amy Search, Datuk Rahim Razali, Datin Seri Umie Aida, Saim Ali dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Abam meluahkan keterujaan apabila dipilih menjayakan teater buat julung kali di pentas berprestij Istana Budaya. Tawaran yang diberikan oleh Erma dianggapnya sebagai peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan begitu saja.

"Kali pertama berlakon teater, semestinya saya ingin memberikan persembahan terbaik kerana inilah juga pertaruhan sulung saya. Saya memegang watak sebagai Manoj yang tidak bijak berniaga, namun sangat menyayangi adiknya, Rahul," katanya.

Menurut Abam, berbeza dengan lakonan di TV, dirinya perlu melontarkan emosi dengan lebih mendalam ketika beraksi di pentas teater.

"Malah, saya juga perlu menari memandangkan teater ini bertemakan Bollywood. Kenangan dipilih menjayakan teater ini akan saya simpan sampai bila-bila," kata Abam.

Teater muzikal berkenaan akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 4 hingga 13 November depan.

Berita Harian X